33.6 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Sultan Selangor harap isu kalimah Allah dimuktamadkan segera

Mesti Baca

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam perlu dikaji dan diteliti dengan mendalam serta dimuktamadkan segera dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

Baginda bertitah, ini memandangkan isu penggunaan kalimah tersebut begitu sensitif bagi umat Islam di negara ini serta melibatkan sebahagian penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin bertitah, satu kertas dasar berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dibincangkan di dalam Mesyuarat Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ini dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif.

“Segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-raja pada mesyuaratnya yang akan datang, dan dengan itu satu dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dimuktamadkan,” titah baginda hari ini.

Baginda bertitah demikian semasa mempengerusikan MKI Ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdu Aziz Shah, Shah Alam hari ini. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum itu, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI telah menyuarakan pandangan kepada Perdana Menteri bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam perlu dibincangkan terlebih dahulu pada peringkat MKI.

Advertisements

“Pandangan Beta ini juga telah dipersetujui oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” titah baginda yang mana intipati titah ucapan baginda dimuatkan dalam Facebook Selangor Royal Office.

Sementara itu, baginda bertitah, terdapat beberapa kes terkini yang sedang berlangsung menggambarkan kedudukan Enakmen-enakmen negeri melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan jenayah Syariah semakin tercabar, sekali gus menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri berkaitan.

Sehubungan itu, baginda berpandangan perlu diwujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan daripada keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Jawatankuasa Khas ini perlu mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan termasuklah peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu tersebut dapat dibuat.

“Beta berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-ehwal Agama Islam) dapat mengambil langkah-langkah segera bagi pembentukan Jawatankuasa Khas tersebut dan mengemukakan syor kepada MKI dan seterusnya Majlis Raja-Raja ke arah penyelesaian kepada permasalahan ini,” titah baginda. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Giliran calon PH tayang keputusan UPSR, SPM

SELEPAS calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menayangkan sijil akademik pengajiannya, kini giliran calon Pakatan Harapan (PH) pula...

Lagi Artikel Berkaitan