SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pihak polis mengesan kumpulan yang memfitnah 200 buah sekolah tahfiz diarah tutup di negeri itu dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
Baginda yang kesal dengan tuduhan tersebut bertitah, fitnah sedemikian amat tidak bertanggungjawab kerana ia bukan sahaja merisaukan ibu bapa tetapi juga menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama, khususnya di Selangor.
Sultan Sharafuddin menyeru mereka yang sering melemparkan fitnah dan tohmahan agar mendapatkan fakta yang tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan yang tidak berasas.
“Golongan ini perlu segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab ini dan andai kata mereka meneruskan perbuatan fitnah dan khianat ini, Beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” titah baginda.
Sultan Selangor bertitah demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Baginda mengulas kekecohan tentang fitnah yang telah dilemparkan terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak berkuasa tempatan (PBTP) negeri itu konon lebih 200 buah sekolah tahfiz telah diarahkan tutup yang mengakibatkan beribu pelajar tahfiz hilang tempat untuk belajar.
Sebelum ini, Mohd Na’im menjelaskan, dakwaan beberapa pihak bahawa terdapat 200 sekolah agama di Selangor diarah tutup adalah kenyataan tidak berasas serta satu tuduhan tidak bertanggungjawab.
Katanya, dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan memberi amaran kepada sekolah agama persendirian dan diarah keluar dari premis masing-masing adalah tidak benar sama sekali serta berniat menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam.
Jelasnya, kerajaan membangunakan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor dan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021 bertujuan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar dan seluruh warga institusi tahfiz persendirian.
“Ia ekoran kejadian insiden kebakaran sehingga melibatkan kemalangan jiwa di sebuah sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada tahun 2017.
“Inisiatif ini diambil sebagai langkah supaya tragedi meragut nyawa tidak berulang lagi di mana-mana sekolah agama di negeri Selangor.
“Pada masa sama, penguatkuasaan garis panduan tersebut mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian,” katanya.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menyeru pusat-pusat tahfiza swasta dan persendirian yang belum berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Islam negeri agar segera melaksanakannya supayan bantuan dan peruntukan dapat disalurkan.
Baginda turut mencadangkan agar Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dapat menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran institusi-institusi tahfiz swasta dan persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri. – Edisi 9