Wednesday, July 22, 2026

Kalah kes saman MB Kedah, Saifuddin akan buat rayuan

Saifuddin Nasution juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai.

Mesti Baca

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar berhubung saman yang difailkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, beliau menghormati keputusan dibuat Mahkamah Tinggi itu namun setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guaman, beliau berpendirian terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu.

“Justeru, saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. 

“Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini memerintahkan Saifuddin Nasution membayar ganti rugi RM600,000 kepada Muhammad Sanusi selepas kalah dalam saman fitnah berhubung kenyataan isu nadir bumi (REE) dan dana penyelenggaraan jalan negeri (MARRIS).

Hakim, Dr. John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee turut mengarahkan defendan membayar kos sebanyak RM70,000 kepada plaintif.

Mahkamah juga memerintahkan Saifuddin Nasution menerbitkan permohonan maaf dalam media berbahasa Melayu dan Inggeris dalam tempoh 14 hari, dengan teks yang perlu mendapat kelulusan plaintif terlebih dahulu.

Saifuddin Nasution berkata, sebagai seorang yang menghormati prinsip keluhuran undang-undang, beliau percaya sistem kehakiman negara akan memberikan ruang yang adil baginya mengemukakan hujah dan mempertahankan kebenaran.

“Saya ingin menegaskan bahawa segala kenyataan yang saya keluarkan sebelum ini adalah berasaskan tanggungjawab saya dalam menyuarakan isu-isu kepentingan awam. 

“Saya akan terus berpegang pada prinsip bahawa keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi,” katanya.

Sanusi sebelum ini menuntut ganti rugi am RM2.5 juta, ganti rugi teruk RM500,000 dan ganti rugi teladan RM2 juta.

Bagaimanapun, selepas meneliti amalan lazim kes saman fitnah mahkamah hanya menganugerahkan ganti rugi global RM600,000.

Media pada Ogos 2023 melaporkan, Muhammad Sanusi mengemukakan saman terhadap Saifuddin Nasution kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri itu memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Muhammad Sanusi yang memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui firma guaman Tetuan Faizi & Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 3 Ogos lalu turut mendakwa Setiausaha Agung Pakatan Harapan itu memfitnahnya menggunakan peruntukan MARRIS. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan