Wednesday, July 22, 2026

Militan IS warga Bangla bergerak di Malaysia, 36 dicekup

Mereka dipercayai mengindoktrinasikan fahaman radikal dalam komuniti sendiri serta mengutip dana untuk biayai aktiviti keganasan selain merancang untuk menjatuhkan kerajaan sah mereka.

Mesti Baca

CUBAAN menjadikan Malaysia sebagai ‘port’ gerakan militan digagalkan apabila seramai 36 warga Bangladesh dicekup Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi besar-besaran sejak April lalu.

Operasi sulit itu dijalankan dalam tiga fasa bermula 24 April di sekitar Selangor dan Johor, selepas risikan mendapati kumpulan terbabit aktif menyebarkan fahaman pelampau berasaskan ideologi Islamic State (IS).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lima suspek sudah didakwa di mahkamah mengikut Bab VIA Kanun Keseksaan.

“Lima orang sudah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru, 15 lagi dihantar pulang, manakala 16 masih disiasat lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kumpulan militan itu dipercayai mengindoktrinasikan fahaman radikal dalam komuniti sendiri serta mengutip dana untuk biayai aktiviti keganasan selain merancang untuk menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.

“Malaysia tidak akan jadi tempat perlindungan atau transit militan asing. Kita akan ambil tindakan tegas, pantas dan berkesan,” tegas Saifuddin.

Katanya lagi, kejayaan operasi ini membuktikan kecekapan pasukan risikan PDRM, selain menzahirkan ketegasan Kerajaan MADANI dalam menjaga keselamatan negara daripada ancaman keganasan.

Beliau memberi jaminan, penguatkuasaan dan kerjasama rentas agensi dalam dan luar negara akan terus diperhebat untuk memastikan Malaysia kekal aman dan bebas dari pengaruh ekstremis. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan