Monday, July 20, 2026

Pendididkan awal negara: Mengakar di desa, menjulang di dunia

Kemas kini telah mengurus lebih 10,567 Tabika dan 5,577 Taska di seluruh negara, melibatkan hampir 221,012 kanak-kanak setiap tahun.

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa pendidikan awal negara khususnya di desa menjadi teras utama dalam melahirkan generasi cemerlang yang mampu bersaing di pentas dunia.

Menurut beliau, pendidikan awal bukan sekadar pintu masuk kepada ilmu, malah menjadi akar kehidupan yang akan menentukan hala tuju bangsa.

“Jika akarnya kukuh, batangnya akan teguh, rantingnya subur, dan buahnya memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat serta negara,” katanya ketika berkongsi aspirasi pendidikan awal negara yang menjadi sebahagian daripada fokus utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menerusi Facebooknya hari ini.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Kemas kekal menjadi nadi pendidikan desa sejak penubuhannya pada tahun 1971.

Kini Kemas, katanya, telah mengurus lebih 10,567 Tabika dan 5,577 Taska di seluruh negara, melibatkan hampir 221,012 kanak-kanak setiap tahun.

“Peranan Kemas bukan hanya mendidik kanak-kanak prasekolah, malah menjadi institusi pembelajaran sepanjang hayat dengan kelas kemahiran belia, program komuniti ibu bapa serta sokongan warga emas,” jelas beliau.

Mengulas mengenai RMK-13, beliau berkata, kerajaan meletakkan sasaran liputan prasekolah negara meningkat kepada 98 peratus menjelang 2030 berbanding kadar semasa 93.5 peratus.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta khusus bagi Kemas dalam Belanjawan 2025, selain RM67 bilion untuk sektor pendidikan keseluruhan.

Antara inisiatif baharu termasuk mewajibkan prasekolah pada usia lima tahun, memperkenalkan kurikulum kebangsaan mandatori, memperluas penggunaan Bahasa Inggeris serta memperkukuh pendidikan STEM dan TVET seawal peringkat prasekolah.

Kemas juga katanya, bakal memperkenalkan model bangunan kompak yang menggabungkan Tabika, Taska, kelas kemahiran dan program komuniti di bawah satu bumbung.

Dalam usaha digitalisasi pula, lebih 2,800 guru Kemas telah menerima latihan pedagogi digital. 

Malah, pembelajaran di Tabika kini turut menggunakan komputer, tablet pintar dan realiti maya, menggantikan papan hitam tradisional.

Selain itu, program pendidikan Islam seperti Thalata Tis’a untuk pra-Huffaz dan TABIKA Pra-Tahfiz diperluas bagi melahirkan generasi berakhlak mulia sejak usia kecil.

“Baru-baru ini kita perkenalkan Tabika Tunas Istimewa@Kemas untuk kanak-kanak autism. Bermula dengan tiga kelas rintis di Melaka, ia akan diperluas kepada 176 kelas menjelang 2027,” katanya.

Sejak penubuhannya, lebih tiga juta alumni Kemas telah dilahirkan, termasuk doktor, jurutera, guru, usahawan dan pemimpin negara.

“Data membuktikan sembilan daripada sepuluh kanak-kanak Tabika Kemas sudah menguasai literasi asas sebelum memasuki Tahun Satu,” jelasnya.

Menurut Zahid, Kemas kini bukan sekadar institusi pendidikan awal, malah menjadi ekosistem lengkap yang membimbing rakyat dari rebung kehidupan hingga ke usia emas.

“Tiada anak desa akan tercicir, tiada keluarga desa akan terpinggir, dan tiada masyarakat desa akan terasing daripada arus pembangunan negara,” tegas beliau. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan