RUANG udara negara akan ditutup dalam Kuala Lumpur Terminal Control Area (TMA) seperti yang diterbitkan dalam Suplimen Penerbitan Maklumat Aeronautik (AIP) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, penutupan itu adalah bagi membolehkan acara terbang rendah pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjalan lancar.
Selain itu katanya, CAAM turut mengingatkan orang awam bahawa pengendalian dron adalah dilarang sama sekali sepanjang terbang rendah sebelum dan pada Hari Kebangsaan.
“Ini bagi mengelak sebarang insiden yang tidak dingini terutamanya yang membabitkan aspek keselamatan dan sekuriti orang awam serta pesawat yang sedan beroperasi.
“Penggunaan dron tampa kelulusan dikhuatiri akan mengganggu latihan dan pertunjukan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Norazman berkata, aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan CAAM dan Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau sebarang operasi dron tnapa kebenaran.
“Sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam dan harta benda adalah tertakluk di bawah undang-undang.
“Ia di bawah Seksyen 4 Aka Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Civil Aviation Directives (CADs),” katanya. – Edisi 9

