SELEPAS 19 tahun meringkuk dalam penjara, seorang lelaki dari New Zealand bakal menerima pampasan hampir NZ$5 juta (AS$3 juta).
Menurut Agensi Berita Jerman, pada 1986, Hall telah disabitkan dengan kesalahan membunuh Arthur Easton dan dengan sengaja mencederakan anaknya, Brendon Easton.
Berikutan itu dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Namun begitu, sabitannya dibatalkan pada 2022.
Pemangku Menteri Kehakiman New Zealand Deborah Russell berkata, kerajaan bersetuju untuk membayar NZ$4,933,725 sebagai pampasan bagi 19 tahun yang dihabiskannya di sebalik tirai besi.
“Kerajaan mendapati Hall tidak bersalah dan memohon maaf tanpa syarat atas sabitan dan hukuman penjara yang diterimanya.
“Saya mengakui bahawa permohonan maaf dan pampasan tidak dapat sepenuhnya membetulkan ketidakadilan yang telah dialami oleh Hall.
“Namun begitu, saya berharap ia sedikit sebanyak membantu Hall membina semula hidupnya dan akan membolehkannya mengejar perkara yang diingininya,” kata Russell.
Dalam pada itu, keluarga Hall berkata, kenyataan yang dikeluarkan kerajaan bahawa Hall tidak bersalah adalah yang paling penting.
“Ibu Alan, Shirley, penyokong terbesarnya, telah berjuang selama beberapa dekad untuk mendengar kata-kata itu.
“Walaupun dia tidak ada di sini hari ini untuk mendengar kata-kata itu dilafazkan akhirnya menjadikan detik ini pahit.
“Alan berusia 24 tahun ketika dia ditangkap. Dia kini berusia 61 tahun. Dengan pengumuman ini, Alan kini boleh memberi tumpuan kepada apa yang dinafikan daripadanya selama beberapa dekad, membina hidupnya sebagai seorang yang bebas,” menurut kenyataan keluarga itu.
Mereka juga berharap siasatan dapat diteruskan bagi menjejaki individu yang bertanggungjawab atas kematian Arthur. – Edisi 9