29.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Permohonan Najib gugurkan hakim ditolak

Mesti Baca

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada prosiding pendengaran kes berhubung penyelewengan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan bekas perdana menteri itu supaya menarik diri, disebabkan hubungan beliau dengan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.

Sequerah pada bulan lepas mendedahkan bahawa beliau pernah berkhidmat di sebuah firma bersama dengan Jasmine Loo, yang kini dalam tahanan polis.

Dalam keputusan hari ini, Sequerah berkata ia memandangkan sejak Jasmine Loo meninggalkan firma berkenaan pada 31 Disember 2008, beliau tidak pernah berkomunikasi dengannya, sama ada secara profesional atau peribadi, iaitu sejak kira-kira 15 tahun lepas.

“Sejak Jasmine Loo meninggalkan firma itu, tiada sebarang asas yang dikemukakan di mahkamah ini bagi menunjukkan sebarang hubungan, sama ada profesional atau peribadi, dan kini 15 tahun telah berlalu,” katanya.

Sequerah seterusnya berkata, perlu ada pertalian yang jelas antara hakim dengan keadaan yang berkaitan dengan keputusannya yang menjadi pertikaian, terhadap tanggungjawabnya untuk mendedahkan pekerjaannya sebelum ini di Tetuan Zain & Co.

“Tiada kemungkinan, tiada sedikit pun bukti untuk membentuk sebarang asas bagi menunjukkan wujud sebarang bentuk perhubungan mungkin boleh ditimbulkan. Berikutan perkara di atas, tidak ada keperluan di pihak saya untuk mendedahkan fakta pekerjaan lepas di firma guaman itu sebenarnya.

“Keputusannya ialah berdasarkan alasan yang dinyatakan, permohonan untuk saya menarik diri, dengan ini ditolak,” katanya.

Advertisements

Pada 14 Ogos, Muhammad Shafee memfailkan permohonan untuk Sequerah menarik diri daripada mendengar kes itu, selepas Sequerah mendedahkan bahawa Jasmine Loo pernah menjadi bekas rakan sekerjanya kira-kira 10 hingga 15 tahun lepas.

Jasmine Loo yang namanya disebut lebih 600 kali semasa perbicaraan 1MDB, sebelum ini dianggap sebagai orang yang menjadi buruan pihak berkuasa sehingga baru-baru ini, apabila dia berada di bawah tahanan polis Malaysia.

Pada 12 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Jasmine Loo telah ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Susulan keputusan hari ini Muhammad Shafee berkata, beliau akan menfailkan rayuan, dan memohon satu perintah agar perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun permohonan itu ditolak oleh Sequerah dengan alasan tidak ada sebarang keadaan khas yang membolehkan penangguhan prosiding sementara menunggu keputusan rayuan.

Najib, 70, berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan bersambung 28 Ogos. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Pelajar UPSI adakan program bakti bersama gelandangan

SEKUMPULAN pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program khidmat bakti bersama golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan