27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Memaknai merdeka dengan kembalikan hak kepada rakyat – PM

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua rakyat untuk bersama-sama memaknai merdeka dan mempertahankan semangat bahawa Malaysia merupakan hak milik semua kaum di negara ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang hebat di rantau ini sekiranya semua pihak mempunyai jiwa yang merdeka.

“Sebab itu kita kena tekankan memaknai merdeka. Dari pimpinan tertinggi sehingga rakyat harus tahu bahawa negara ini adalah satu amanah.

“Segala kuasa yang ada di peringkat kecil di kampung, penghulu atau pejabat daerah sehinggalah di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mesti melahirkan manusia yang jiwanya juga merdeka.

“Memaknai merdeka maknanya segala khazanah, segala kekuatan dan usaha untuk mengembalikan hak kepada rakyat. Mengangkat martabat negara ini. Dan saya yakin Malaysia akan muncul sebagai negara hebat di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Amanat tersebut turut disiarkan secara langsung di saluran televisyen menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media sosial Anwar serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Advertisements

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan anggota Kabinet.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, setiap lapisan masyarakat daripada pemimpin tertinggi sehingga rakyat perlu mempertahankan kemerdekaan negara bukan sahaja dalam aspek keamanan tetapi daripada golongan elit yang angkuh memunggah kekayaan negara.

“Kita telah berjaya menggantikan elit politik, ekonomi dan sosial Inggeris dengan kalangan pribumi dan rakyat tempatan.

“Namun, masalah lebih besar ialah jiwa yang terjajah. Negara merdeka, jiwa masih terjajah. Elit yang baharu mengambil-alih warna kulitnya lain tetapi sikap keangkuhan dan (aktiviti) menunggah kekayaan itu diteruskan,” tegas Anwar.

Perdana Menteri berkata, tiada sesiapa yang boleh mempertikai perkara mutlak yang disebut dalam Perlembagaan negara.

“Masalah di negara kita bukan masalah perbezaan kaum, budaya atau agama. Allah jadikan perbezaan untuk kenal dan hormat di antara satu sama lain dan kita mesti terima kenyataan itu, tidak siapa mempertikai peruntukan-peruntukan mutlak, kukuh dalam perlembagaan negara kita.

“Soal Bahasa Melayu, soal Islam agama Persekutuan, soal hak keistimewaan Melayu bumiputera dan kedaulatan negara,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan