MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mencadangkan lebih banyak “signage” diletakkan di laluan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam bagi mengelakkan kekeliruan pengguna jalan raya.
Alexander berkata, langkah itu boleh dilaksanakan sebagai jangka masa pendek.
“Ini kerana saya menerima beberapa aduan mengenai kemalangan yang kerap berlaku di laluan ini.
“Justeru, saya mencadangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri untuk mengambil tindakan proaktif bersama Kerajaan Negeri sekiranya isu ini mempunyai kaitan dengan infrastruktur jalan,”katanya menerusi kenyataan di sini.
Alexander berkata, walaupun jalan ini di bawah bidang kuasa negeri, atas dasar prihatin dan ‘Collective Responsibility’ di bawah Kerajaan Perpaduan, beliau turun padang melihat sendiri lokasi pada pagi ini.
Beliau berkata, difahamkan Kerajaan Selangor sedang melaksanakan pelan pelebaran jalan di laluan ini.
“Meskipun aspek kewangan dan perancangan terletak di bawah Kerajaan Negeri, pihak KKR melalui JKR Negeri sentiasa bersedia dan memberi jaminan dalam usahasama membantu dan melancarkan pelaksanaan,”katanya. – Edisi 9

