27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Ketua balai polis didakwa hampir 100 pertuduhan rasuah

mengaku tidak bersalah

Mesti Baca

SEORANG ketua balai polis mengaku tidak bersalah atas 98 pertuduhan menerima rasuah yang keseluruhannya berjumlah RM31,400 pada 2021 dan 2022.

Anuar Yaakob, 54, didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuantan, semalam, bagaimanapun memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan empat jurubahasa yang mengambil tempoh masa lebih 40 minit di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima benda berharga iaitu wang tunai berjumlah antara RM100 dan RM2,000 tanpa balasan daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya melalui pindahan wang secara dalam talian ke akaun miliknya antara Januari 2021 sehingga Oktober 2022.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu sekitar Kuantan ketika bertugas di Bahagian Siasatan/Perundangan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dengan pangkat Sarjan dan Ketua Balai Polis Cherating sebagai Sarjan Mejar antara Januari 2021 sehingga Oktober 2022.

Anuar yang berkhidmat selama 33 tahun dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rif’ah Izzati Abdul Mutalif memohon jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan.

Advertisements

“Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM Pahang, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tidak melakukan kacau ganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, peguam tertuduh, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim dalam rayuannya memohon wang jaminan itu dikurangkan kerana tertuduh menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak.

“Pendapatan bersih tertuduh berjumlah RM3,000 dan turut menanggung ibu bapa, masing-masing berumur 73 dan 76 tahun,” katanya.

Ahmad Zamzani kemudiannya membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan tiga syarat tambahan.

Tertuduh diperintahkan supaya melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan bermula September ini, sehingga kes selesai.

Ahmad Zamzani memberitahu tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai dan tertuduh tidak melakukan kacau ganggu saksi pendakwaan dan kes disebut semula pada 25 September ini untuk serahan dokumen. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan