28.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Kerajaan perkenal Pakej 5G Rahmah, Insentif Pascabayar Penjawat Awam

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN hari ini memperkenalkan inisiatif Pakej 5G Rahmah dan insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam, pakej perkhidmatan internet yang lebih murah berbanding pakej di pasaran.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Pakej 5G Rahmah ialah pakej telefon pintar 5G pelan data dengan harga telefon pintar jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G serendah RM240.

Katanya, pakej tersebut didatangkan bersama pelan data sebanyak 60 gigabait (GB) pada harga RM60 sebulan.

“Bagi golongan B40, sejumlah 100,000 pelanggan terawal akan menikmati Pakej 5G Rahmah dengan harga telefon pintar serendah RM120.

“Pakej tersebut akan berada di pasaran bermula pada 31 Ogos ini dengan kontrak langganan selama 24 bulan. Pakej ini turut menawarkan tempoh waranti selama dua tahun berbanding hanya satu tahun sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Advertisements

Insentif tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), syarikat telekomunikasi (telco) serta dua syarikat pengeluar peranti seperti Samsung Malaysia dan Honor Malaysia.

Sementara itu, bagi menghargai sumbangan penjawat awam, Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam turut diperkenalkan dengan pemberian rebat RM10 sebulan yang akan dinikmati oleh semua penjawat awam.

Katanya, ia terpakai untuk mana-mana pakej pascabayar sedia ada dengan penjawat awam mendapat manfaat penjimatan sebanyak RM120 setahun.

“Pakej ini juga akan berkuat kuasa bermula 31 Ogos. Kerajaan Perpaduan serius dalam usaha merapatkan jurang digital serta memastikan rakyat mendapat internet berkualiti pada harga berpatutan.

“Ini juga selari dengan visi dan kerangka Ekonomi Madani yang turut member fokus kepada inisiatif mengurangkan beban ekonomi rakyat,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Balai polis Ulu Tiram diserang, dua anggota, suspek maut

DUA anggota polis maut manakala seorang cedera akibat ditembak dan ditetak seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis...

Lagi Artikel Berkaitan