27.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Dasar gaji progresif dibawa ke Jemaah Menteri, perhalusi mekanisma

Dasar berkenaan bagi menyokong anjakan reformasi pasaran pekerja

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DASAR gaji progresif yang dicadangkan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisma pelaksanaan secara berperingkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa sama akan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan dan keperluan dasar.

Beliau berkata, isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan lagi.

“Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lepas, lebih 2 juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

“Situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20-24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan.

“Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40-49 tahun sepanjang kerjaya mereka.

“Dalam masa yang sama, berikutan peratusan pendapatan pekerja Malaysia (wage share ratio) telah menurun daripada 37.2 peratus pada 2020 kepada 32.4 peratus pada 2022, Kerajaan menetapkan sasaran nisbah ini agar meningkat kepada 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan,”katanya yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya hari ini.

Sehubungan dengan itu, katanya MTEN telah berbincang mengenai cadangan Dasar Gaji Progresif (progressive wage policy) sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan gaji lebih
seimbang.

Advertisements

Katanya, dasar gaji progresif ini adalah bersifat sukarela (voluntary), berteraskan insentif (incentive-based), dan terkait dengan produktiviti (productivity-linked).

“Model dasar ini diusulkan setelah MTEN mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja.

“Dasar ini, yang merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum, akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan, dan peringkat.

“Sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri yang dinyatakan, dan MTEN berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak syarikat dan pekerja yang mungkin.

“Langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja,”katanya.

Anwar berkata, MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup.

“Pekerja juga dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara,”ujar beliau.

Menurut Anwar, menerusi Gagasan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat merupakan wadah yang menetapkan halatuju negara dalam tempoh sederhana terutamanya untuk meletakkan negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan di kalangan 30 ekonomi terbesar dunia.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kumpulan Richiamo umum penstukturan jawatan baharu

KUMPULAN Richiamo Sdn Bhd mengumumkan penstrukturan syarikat dengan melibatkan pertukaran dan pelantikan baru bagi mengetuai anak-anak syarikat yang ditubuhkan...

Lagi Artikel Berkaitan