PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah mengarahkan semua aset persekutuan dihantar ke Hawaii bagi membantu mengawal kebakaran hutan yang semakin merebak di negeri itu, lapor Sputnik.
Memetik Agensi, kebakaran hutan yang dicetuskan Taufan Dora itu telah menyebabkan banyak kerosakan dan ribuan penduduk di Pulau Maui terpaksa dipindahkan.
“Saya telah mengarahkan semua aset persekutuan yang ada di pulau itu digunakan untuk membantu respons kecemasan,”kata Biden dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau berkata, Pengawal Kebangsaan Hawaii telah menggerakkan helikopter Chinook untuk menyertai misi mencari dan menyelamat di Maui.
Pengawal Pantai dan Tentera Laut AS turut dikerahkan, manakala Marin AS menghantar helikopter Black Hawk, katanya.
Selain itu, Biden berkata, Jabatan Pengangkutan AS sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan komersial untuk memindahkan pelancong dari Maui.
Sementara itu, Datuk Bandar Maui County, Richard Bissen, memberitahu pemberita, sekurang-kurangnya enam orang disahkan maut akibat kebakaran itu.
Dalam pada itu, media tempatan Hawaii News Now melaporkan, kira-kira 20 orang mengalami kecederaan serius, beribu-ribu penduduk hilang tempat tinggal dan respons kecemasan di daerah itu hampir mencapai tahap maksimum.
Ratusan rumah dikhuatiri musnah dan angka korban dijangka meningkat, menurut laporan itu.
Gabenor Hawaii telah mengisytiharkan darurat untuk menghalang pelancong pergi ke Maui. – BERNAMA