26.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Jamal Abdillah Live In Concert, bukti nilainya dalam industri seni

Mesti Baca

NILAI figuranya tidak akan pernah susut, datanglah beribu pendatang baharu, kedudukan Datuk Jamal Abdillah pada mata peminatnya tidak akan pernah goyah.

Tidak hairanlah karier Jamal Abdillah dalam bidang seni suara sama ada menghasilkan single baharu atau menerima jemputan persembahan masih mendapat permintaan tinggi.

Ini termasuklah apabila Jamal, 64, membuka lembaran suku tahun kedua 2023 menerusi buah tangan yang sangat ditunggu seluruh peminatnya.

Penghibur kesayangan ini akan bertentang mata, beramah mesra dan tentulah mengisi dahaga peminat terhadap penampilannya di pentas berskala besar menerusi Jamal Abdillah Live In Concert.

Jamal Abdillah Live In Concert dijadual berlangsung pada 9 September depan akan diadakan di Plenary Hall, KL Convention Centre.

Ia akan menjadi sebuah konsert istimewa dengan persembahan dan ‘sesuatu’ yang telah direncana untuk dilaksanakan pada malam itu nanti.

Selaku penganjur, Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, dia tidak gentar menganjurkan Jamal Abdillah Live In Concert kerana percaya kepada pesona dan kredibiliti penghibur ituyang sentiasa ‘bersinar’.

“Mungkin ada yang bertanya mengapa Jamal Abdillah dan jawapan saya mengapa tidak?.

“Jamal Abdillah adalah satu jenama yang cukup kuat dalam industri muzik tempatan dan seorang figura yang sinarnya tidak pernah padam.

“Karakter serta pesona Jamal Abdillah itu sendiri sudah cukup kuat untuk menarik peminat datang dan tidak pernah jemu untuk melihat persembahan beliau.

Advertisements

“Itu belum lagi beliau melantunkan vokal ‘lelakinya’ dengan lagu-lagu malar segar seperti Azura atau Di Sudut Kamar Hatiku.

“Saya optimis Jamal Abdillah Live In Concert akan menjadi sebuah konsert yang gemilang dan menjadi satu lagi momen manis buat peminat semua,” kata Shirazdeen atau lebih dikenali sebagai Shiraz.

Sementara itu Jamal melahirkan rasa syukur kerana penganjur tempatan masih percaya malah terus menganjurkan banyak persembahan buat artis serta penyanyi lokal melakukan persembahan.

Melihat penganjuran Jamal Abdillah Live In Concert sebagai sebuah inisiatif bagus daripada Shiraz Projects dalam memastikan momentum ‘meraikan muzik’ sentiasa berada pada graf yang baik, juara Bintang RTM 1979 itu memberi jaminan peminat akan berpuas hati dengan persembahan daripadanya.

“Saya tertarik untuk melaksanakan Jamal Abdillah Live In Concert ini kerana konsep yang dipersembahkan dan bagaimana saya boleh berinteraksi dengan peminat dalam suasana atau skala yang lebih besar.

“Ini kerana biasanya saya terbabit dengan persembahan korporat tapi bila melakukan konsert tentulah ia akan dikuatkan bersama barisan pemuzik, susunan semula lagu-lagu yang dipilih serta persembahan saya juga perlulah mencapai piawaian konsert seperti yang diharapkan.

“Untuk melihat semua itu, kita jumpa di Jamal Abdillah Live In Concert pada 9 September ini di Plenary Hall, KLCC,” kata Jamal.

Untuk peminat, tiket dijual serendah RM255 (Silver), RM355 (gold), RM495 (Platinum), RM595 (Diamond) dan pemegang tiket Meet & Greet (RM995) boleh mula mendapatkan tiket anda.

Pembelian boleh dibuat menerusi www.myticket.asia atau hubungi talian hotline 03-8605 0196. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan