25.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Foodpanda taja 5 penghantar makanan sambung pengajian

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PLATFORM penghantaran makanan, Foodpanda menaja lima rakan penghantar makanan menyambung pengajian ke peringkat diploma di Universiti Antarabangsa Manipal (MIU).

Ketua Bahagian Logistik, Foodpanda Malaysia, S. Shhubham berkata, inisiatif itu bertujuan membantu rakan penghantar meningkatkan kemahiran dan kelayakan yang diperlukan untuk memajukan kerjaya mereka.

Susulan itu katanya, lima rakan penghantar yang tekun telah dipilih untuk menyertai kursus Diploma Pengurusan Perniagaan dengan tajaan selama dua tahun.

“Di Foodpanda, kami komited memupuk dan melabur dalam masa depan rakan penghantar yang merupakan nadi dan jiwa perniagaan kami. Kami sentiasa berasa bangga dengan dedikasi dan usaha gigih mereka.

“Oleh sebab itu, kami sangat teruja untuk menyokong dan menyaksikan kejayaan mereka dalam mencapai masa hadapan dan kualiti hidup yang lebih baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Foodpanda dan MIU di Nilai, Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.

Advertisements

Foodpanda menerima sebanyak 60 permohonan daripada rakan-rakan penghantar untuk biasiswa tersebut namun hanya lima daripadanya yang terpilih.

Menurut beliau, Foodpanda akan menyediakan komputer riba dan penginapan asrama percuma untuk mereka sepanjang tempoh dua tahun kursus berkenaan.

Salah seorang penerima biasiswa, R. Gopinath, 41, berkata, beliau ingin melanjutkan pengajian di universiti supaya dapat memiliki kehidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarganya.

Beliau yang juga seorang bapa tunggal berkata, dia tidak berpeluang menyambung pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana kekangan kewangan pada ketika itu.

“Saya mempunyai impian dan aspirasi, seperti semua orang. Tetapi impian itu telah hancur apabila saya tidak mampu untuk meneruskan pengajian selepas SPM.

“Ibu bapa saya sudah berjuang keras untuk mencukupi keperluan dan saya tidak mahu memberi bebanan tambahan kepada mereka,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan