Thursday, June 4, 2026

Cubaan seleweng 47,540 liter diesel bersubsidi dipatahkan

Mesti Baca

KEMENTERIAN Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di bawah Ops Tiris dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Taman Perindustrian Plentong, Masai, Johor yang disyaki beroperasi tanpa lesen, semalam.

Menurut Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya hasil risikan yang telah dilakukan sejak enam bulan lalu sebelum operasi dilaksanakan bermula kira-kira jam 8.10 malam.

Beliau berkata, modus operandi sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi tersebut menggunakan beberapa buah lori, kemudiannya mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak di sepanjang laluan Lebuh Raya Pasir Gudang, Masai dan Kempas sebelum dihantar ke stor haram berkenaan dan dijual di pasaran.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 47,540 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Sebuah lori tangki, dua buah lori bonded, sebuah kenderaan pikap 4×4 dan minyak diesel telah disita bagi siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM267,457,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, seorang lelaki warganegara tempatan berumur 37 tahun yang mengaku sebagai pemandu treler juga telah ditahan bagi membantu siasatan.

Armizan berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes tersebut akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedarannya, termasuklah ke mana minyak diesel tersebut diedarkan.

“KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkanm” katanya.

Katanya, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Selain itu, jelas beliau, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.

“Kementerian juga akan sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasanya dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa terutamanya di stesen-stesen minyak yang berada dalam kawasan berhampiran dengan sempadan di seluruh negara,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai digesa menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

Katanya, ini bagi memastikan aktiviti haram tersebut dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan