PENGURUS baharu Tottenham Hotspurs, Ange Postecoglu memperoleh debut impian di laman sendiri apabila memacu kelab itu menang 2-0 ke atas Manchester United, awal pagi tadi.
Ini merupakan kemenangan pertama Spurs ke atas United sejak mula beraksi di Stadium Tottenham Hotspurs di London pada Januari 2018.
United terlebih dahulu menguji Guglielmo Vicario apabila Marcus Rashford melakukan larian menarik masuk ke dalam kawasan penalti namun percubaannya terkena tangan penjaga gol Spurs tersebut.
Rashford terlepas peluang keemasan meletakkan Red Devils di depan pada minit ke-23 apabila gagal menanduk masuk hantaran Bruno Fernandes biarpun tidak dicabar mana-mana pertahanan lawan.
United dinafikan sepakan penalti pada minit ke-26 selepas percubaan Alejandro Garnacho terkena tangan Cristian Romero biarpun dinilai semula oleh video bantuan pengadil (VAR).
Fernandes turut terlepas peluang yang sama seperti Rashford sebelum ini apabila gagal menanduk masuk bola bola hantaran Luke Shaw.
Minit ke-40 menyaksikan dua percubaan berganda Spurs masing-masing menerusi Pedro Porro dan Pape Matar Sarr sekadar terkena palang dan tiang gawang United yang dikawal Andre Onana.
Spurs akhirnya berada di depan hanya tiga minit selepas rehat apabila Matar Sarr tenang menyudahkan hantaran Dejan Kulusevski untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Tuan rumah terus mengasak dan hampir mendapatkan gol kedua menerusi Destiny Udogie pada minit ke-52 namun percubaan pertahanan itu diselamatkan Onana.
Selang seminit kemudian menyaksikan percubaan pemain sayap United, Anthony sekadar singgah di tiang gol kiri Spurs ketika Vicario telah tertewas.
Spurs mengesahkan kemenangan pada minit ke-83 apabila percubaan Ben Davies terkena kaki Lisandro Martinez sebelum meleret masuk ke gawang United untuk kemenangan 2-0 buat Spurs. – Edisi 9