LALUAN di kilometer (KM) 66.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) ditutup sementara bagi kedua-dua arah susulan berlakunya kejadian tanah mendap malam tadi.
Anih Berhad berkata, semua pengguna yang ingin ke Kuala Lumpur dari Kuantan, diarahkan keluar di persimpangan Bentong Timur dan masuk semula di persimpangan Bentong Barat.
Katanya, pengguna dari Kuala Lumpur yang ingin ke Kuantan akan dilencongkan ke persimpangan Central Spine Road (CSR).
“Kenderaan yang menggunakan CSR dari Pantai Timur boleh meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Namun begitu, pengguna dari Kuala Lumpur yang bertujuan ke Gua Musang perlu keluar di persimpangan Bentong Barat dan masuk semula melalui persimpangan CSR Bentong
“Punca kejadian mash dalam siasatan dan pengguna dinasihati menggunakan laluan alternatif,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Anih berkata, pasukan teknikal Anih Berhad, LPT Ronda dan pihak polis sedang membantu mengarahkan kenderaan untuk menggunakan lencongan laluan alternatif yang disediakan.
“Anih Berhad sentiasa bersedia dan memberi jaminan kepada pengguna lebuh raya untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya kekal sebagai keutamaan.
“Pengguna lebuh raya dinasihati untuk mematuhi papan arah serta arahan petugas di lokasi,” katanya. – Edisi 9