25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

MOF sahkan PM tandatangan FSRA pada 26 Jun lalu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) mengesahkan perjanjian Financial Service Reserve Account (FSRA) telah ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lalu.

MOF dalam satu kenyataan berkata, perjanjian itu melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan agensi tersebut.

“Di bawah perjanjian, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun,” kata kementerian itu.

Dalam pada itu, MOF turut mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai lalu selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023.

Katanya, penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada Felda merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan Felda.

Antara lain, jelasnya, memberi impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan Felda berikutan penghapusan hutang peneroka Felda.

Sebelum ini, Anwar mengemukakan sebahagian dokumen perjanjian FSRA terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda yang telah ditandatanganinya.

Advertisements

Susulan itu, beliau mendesak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Dokumen tersebut antara lain menyaksikan persetujuan meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda.

Semalam, Anwar memaklumkan bersedia untuk kemukakan bukti bahawa beliau telah menandatangani dokumen bagi meluluskan pelupusan hutang Felda, seperti dituntut oleh Muhyiddin.

Muhyiddin dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership antaranya menuntut Anwar mengemukakan surat atau dokumen yang ditandatangani, mengatakan Anwar sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun lalu meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion.

Selain itu, Muhyiddin menerusi firma guaman itu menuntut agar Anwar menarik balik semua kenyataan fitnah tersebut dan memadamkan semua penyiaran kenyataan fitnah dalam tempoh 24 jam selepas menerima surat berkenaan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga menuntut Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataan berunsur fitnah. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan