KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah yang ditangguhkan sebelum ini susulan cuaca panas.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Dr. Norisah Suhaili menerusi surat siaran dan garis panduan yang dikeluarkan berkata, kebenaran tersebut berkuat kuasa semalam.
“Mengambil kira situasi terkini, KPM membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar dengan memastikan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta anggota kumpulan pelaksana semasa berhadapan dengan fenomena cuaca panas terjamin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebenaran berkenaan adalah berpandukan Garis Panduan Aktiviti Luar Insitusi Semasa Cuaca Panas.
Garis Panduan berkenaan menetapkan aktiviti luar bilik darjah boleh dilaksanakan di dalam suhu kurang 35°C dengan langkah kawalan dan tahap berjaga-jaga.
Antara garis panduan tersebut adalah semua penyertaan murid di dalam aktiviti luar bilik darjah adalah dilaksanakan secara sukarela dan mendapat kebenaran ibu bapa.
Menyediakan kemudahan penyejukan seperti kanopi, ais atau tuala basah.
Memastikan murid minum air yang mencukupi sebelum, semasa dan selepas dengan menyediakan bekalan air minuman yang mencukupi serta menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
Selain itu, pelaksana perlu membuat penyesuaian tempoh, waktu mula dan tamat acara atau aktiviti berdasarkan perubahan cuaca persekitaran.
Penerangan mengenai langkah pencegahan, simpton dan rawatan sekiranya mengalami gejala fenomena cuaca panas berlaku perlu diberikan kepada murid.
Menangguhkan semua aktiviti luar yang sedang berlangsung sekiranya berlaku peningkatan suhu cuaca melebihi 35°C.
Pada 4 Mei lalu, kementerian mengarahkan semua institusi pengajian di bawahnya supaya menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.
KPM memaklumkan, larangan itu termasuk merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah. – Edisi 9