30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kerjasama Malaysia-Indonesia selesai isu berlarutan

Kerjasama dua hala antara kedua-dua negara bukan saja membanggakan tetapi memberi manfaat kepada pemerintah dan rakyat kedua-dua negara

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERJASAMA akrab dan komitmen yang ditunjukkan pemimpin Malaysia dan Indonesia berjaya menyelesaikan pelbagai isu yang berlarutan puluhan tahun membabitkan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu terbukti menerusi termeterainya beberapa memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang berkaitan sempadan, ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

Anwar turut menyifatkan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang kini mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai semalam sebagai sahabat sejati dan perundingan yang dilakukan antara kedua-dua negara sebagai perundingan keluarga dan sahabat.

“Saya tidak mahu menganggap ini sebagai lawatan kerja biasa ataupun hubungan dua hala biasa kerana anggap (Presiden Indonesia) Jokowi dan rakan Indonesia yang saya ungkap tadi sebagai sahabat sejati dan perundingan kita itu perundingan keluarga, sahabat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo di Kompleks Seri Perdana, hari ini.

Anwar berkata, kerjasama dua hala antara kedua-dua negara bukan saja membanggakan tetapi memberi manfaat kepada pemerintah dan rakyat kedua-dua negara.

“Ini sangat akrab dan memudahkan dan saya berbangga pimpinan dua-dua hari ini, kita dapat selesaikan satu isu yang telah kita runding selama berpuluh tahun,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian merujuk isu persempadanan maritim antara wilayah membabitkan Laut Sulawesi dan Selat Melaka yang berjaya diselesaikan selepas 18 tahun.

Sementara itu, Jokowi meminta kerajaan Malaysia menghantar pulang segera warga Indonesia yang berada di depoh tahanan imigresen selain berharap penggunaan saluran tunggal (one channel system) dalam urusan pengambilan pekerja domestik Indonesia dioptimakan.

Dalam pada itu, Anwar dan Jokowi turut menyaksikan pertukaran enam instrumen perjanjian dua hala.

Enam instrumen itu adalah Perjanjian Lintas Sempadan Antara Malaysia dan Indonesia, Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka; Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi; Perjanjian Perdagangan Sempadan; Kerjasama Promosi Pelaburan dan Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal Bagi Produk Domestik.

Lawatan Jokowi disifatkan cukup signifikan dalam usaha meningkatkan hubungan erat yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia adalah pada 2019, selepas dilantik semula bagi penggal kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada 17 April. – BERNAMA

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan