Monday, June 22, 2026

ECRL: Penduduk Kampung Orang Asli sedia pindah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 41 penduduk Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak yang terbabit dengan pembinaan Projek Jajaran Rel Pantai Timur (ECRL) bersedia untuk berpindah ke penempatan baharu yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan persetujuan penduduk berkenaan dicapai melalui sesi perbincangan, taklimat dan libat urus pelbagai agensi berkaitan bersama penduduk.

Menurutnya, sesi penjelasan dan mendapatkan maklum balas penduduk itu diadakan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Batu 12 dan Jawatankuasa Bertindak Orang Asli.

Katanya, jawatankuasa berkenaan membabitkan, Jabatan Hutan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak dan pemaju Malaysia Rail Link (MRL) serta lain-lain agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri yang dilaksanakan sejak tahun 2022.

“Terkini, pada 30 Mei 2023 satu sesi penerangan berkaitan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) bertarikh 12 April 2023 berhubung pemindahan masyarakat Orang Asli Batu 12 telah diadakan kepada 41 penduduk terlibat.

“Sesi penerangan ini juga dihadiri oleh JPKKOA Batu 12, Gombak dan Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Gombak,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, antara perkara yang dimaklumkan dalam sesi penerangan tersebut adalah penempatan baharu 41 masyarakat Orang Asli Batu 12 Gombak di Kompartmen 1, Hutan Simpan Hulu Gombak.

Katanya, penempatan baharu itu berada di antara Muzium Orang Asli dan Unit Logistik JAKOA seluas 10 ekar.

“MRL hendaklah melaksanakan tindakan sewajarnya dan menanggung kos-kos yang terlibat bagi tujuan penempatan baharu 41 penduduk termasuk membina rumah, kuarters, prasarana dan kemudahan asas.

“Selain membayar ganti rugi pokok yang ditebang dan premium yang dikenakan untuk lokasi penempatan baharu; dan menanggung kos perpindahan dari penempatan sedia ada ke lokasi baharu,”katanya.

Menurut JAKOA, pemindahan penduduk pula hanya akan dilaksanakan setelah semua syarat dan terma dipenuhi dan diselesaikan sepenuhnya.

“Hasil dari penerangan tersebut, penduduk secara lisan bersetuju dengan pemindahan ke lokasi baharu yang ditetapkan.

“Selain jarak daripada penempatan lama ke lokasi penempatan baharu adalah sejauh 400 meter, kemudahan yang ada berhampiran seperti Hospital Orang Asli Gombak dan Muzium Orang Asli dikekalkan dan tidak terjejas dengan Projek ECRL,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan