Tuesday, July 21, 2026

Pahang rancang 13 projek spesifik berimpak tinggi di laluan ECRL

Perancangan itu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam lingkungan radius 15 kilometer dari setiap stesen ECRL. - Wan Rosdy

Mesti Baca

KERAJAAN Negeri Pahang merancang untuk memajukan sekurang-kurangnya 13 projek spesifik sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan berimpak tinggi di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perancangan itu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam lingkungan radius 15 kilometer dari setiap stesen ECRL.

Beliau berkata, projek-projek tersebut dijangka akan memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

“Dengan pelaksanaan Projek Pemecut Ekonomi (Economic Accelerator Project – EAP) serta pembangunan TOD (Transit Oriented Development) secara strategik dan mampan, Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk menjadikan kawasan sekitar stesen ECRL sebagai pusat pertumbuhan baharu yang inklusif dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelan pembangunan itu hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Khas TOD di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, semalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas TOD disertai empat wakil PBT di negeri Pahang.

Katanya, empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan Majlis Daerah Maran (MDM) telah diberi tanggungjawab untuk merangka pelan tindakan pembangunan EAP dan TOD di kawasan masing-masing, dengan penekanan kepada manfaat nyata kepada penduduk tempatan.

Jelas Wan Rosdy, komponen pembangunan yang dikenal pasti meliputi pelbagai aspek seperti pembinaan Pangsapuri Pahangku, Inland Port, pusat pentadbiran dan pusat komersial, hotel dan kompleks perniagaan, pembangunan bercampur, institusi dan kemudahan masyarakat, utiliti dan infrastruktur perumahan dan sebagainya.

“Kerajaan Negeri yakin pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi, malah mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh jaringan mobiliti dan akses perkhidmatan di kawasan luar bandar dan bandar.

“Inisiatif menyeluruh ini merupakan satu langkah proaktif dan bersifat masa hadapan yang akan menyokong pembangunan Negeri Pahang secara holistik, seimbang dan mampan demi kemakmuran dan kesejahteraan semua,” katanya.

Berikut antara cadangan projek spesifik yang diketengahkan oleh PBT:

1. Pembangunan semula Tasik Paya Bungor Eco Park di Gambang

2. Peningkatan dan Penjenamaan semula Gambang Water Park

3. Pembinaan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Paya Besar

4. Penyediaan Tapak Pusat Pengurusan Sisa Bersepadu

5. Pembangunan Maritim Hab di Tanjung Gelang

6. Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan pembangunan Bandar Aeroangkasa

7. Pembangunan Smart City di Daerah Temerloh

8. Cadangan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) dan Loji Janakuasa Biogas di Maran

9. Cadangan Penubuhan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC)

10. Cadangan Tapak Pusat Pengumpulan Hasil Kelapa Sawit, Pertanian dan Sumber Mineral

11. Cadangan Pembangunan kawasan Eko Pelancongan di Hutan Simpan Paya Pasir

12. Pembinaan Terminal Bersepadu Bentong

13. Pembangunan Gerai Berangkai Bentong – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan