Wednesday, July 22, 2026

Rafizi umum sedia pertahan jawatan Timbalan Presiden PKR

Mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan itu dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan tersebut untuk memperkuatkan parti.

Mesti Baca

DATUK Seri Rafizi Ramli hari ini mengumumkan kesediaan beliau untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu kali ini.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi turut mengalu-alukan calon lain untuk bertanding bagi jawatan tersebut dalam pemilihan kali ini demi memperkuatkan parti.

Bahkan Ahli Parlimen Pandan itu turut menerima baik berita-berita bahawa Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin menunjukkan minat untuk bertanding jawatan tersebut.

“Dari awal lagi, saya menyatakan bahawa hak untuk bertanding itu adalah hak masing-masing dan wajar kita raikan dalam semangat demokrasi.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan ini untuk memperkuatkan parti.

“Ia keputusan yang menang-menang bagi saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, apa pun pilihan yang diambil perwakilan parti, ia membuka ruang kepadanya menawarkan sumbangan menguatkan parti menghadapi PRU-16.

Katanya, jika terpilih, beliau akan terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.

“Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,”katanya.

Media melaporkan Nurul Izzah belum membuat keputusan untuk bertanding jawatan tersebut sebaliknya memberi jaminan akan membuat ‘keputusan terbaik’mengenai perkara tersebut.

Ini susulan beberapa cabang parti termasuk di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan menyatakan sokongan mereka jika anak Presiden PKR itu sedia bertanding merebut jawatan tersebut.

Manakala Saifuddin pula belum mengeluarkan sebarang kenyataan namun beberapa akar umbi menyarankan beliau merebut jawatan tersebut.

PKR sebelum ini mengumumkan proses pencalonan dan pemilihan pucuk pimpinan pusat parti akan diadakan pada 8 dan 9 Mei.

Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat dan Perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 pula akan diadakan pada 23 Mei manakala Kongres Nasional PKR 2024/2025 pada 24 Mei. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan