Wednesday, July 22, 2026

Pelajar MARA boleh sambung Sarjana, PhD percuma di Korea

Lima universiti terkemuka negara itu bersetuju menawarkan 50 tempat bagi para pelajar MARA melanjutkan pengajian dengan tajaan sepenuhnya dari universiti berkenaan.

Mesti Baca

PARA pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) secara percuma di Korea Selatan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini berikutan lima universiti terkemuka negara itu bersetuju menawarkan 50 tempat bagi para pelajar MARA untuk melanjutkan pengajian dengan tajaan sepenuhnya dari universiti berkenaan.

“Alhamdulillah selesai mengadakan perundingan dengan presiden-presiden universiti-universiti terkemuka Korea Selatan.

“Antara persetujuan yang dicapai termasuklah penawaran 50 tempat untuk pelajar-pelajar MARA menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan PhD dengan pembiayaan penuh oleh lima universiti terkemuka Korea Selatan dengan nilai tajaan RM3 juta,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, Hanyang University dan Seoul-Tech University pula bersetuju menjalinkan kerjasama strategik dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM).

Antara kepimpinan universiti terkemuka Korea Selatan yang hadir.

Di bawah kerjasama itu, beliau berkata, mereka akan mengadakan penyelidikan bersama dengan memanfaatkan makmal-makmal canggih mereka dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), Internet-Of-Thing (IoT), robotik dan tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, universiti berkenaan juga menawarkan tempat untuk pelajar-pelajar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di peringkat diploma untuk menyambung latihan di syarikat-syarikat terkemuka negara itu.

Katanya, tawaran itu dibuka kepada pelajar intsitut pendidikan MARA (IPMA) khususnya Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM).

Asyraf Wajdi berkata, para pelajar terbabit berpeluang mengikuti latihan industri di syarikat Hyundai, Samsung dan lain-lain dengan kerjasama universiti Korea beserta elaun bulanan dan peluang pekerjaan selepas tamat latihan.

Selain itu, para MARA di IPMA juga boleh menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama dengan hanya menghabiskan dua tahun melalui kaedah pemindahan kredit.

Katanya, ini dilakukan setelah mereka enyelesaikan diploma selama tiga tahun di IKM, KKTM dan UniKL dalam bidang-bidang kejuruteraan, elektrik, elektronik, sains komputer, AI dan IoT.

“Alhamdulillah, moga apa yang direncanakan ini memberi manfaat kepada pelajar-pelajar Melayu-Bumiputera untuk menceburi bidang-bidang strategik berkepentingan negara masa depan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan