25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Bom lempar meletup: Jurulatih TUDM disahkan maut

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEORANG lagi mangsa insiden bom lempar meletup ketika latihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas disahkan meninggal dunia petang semalam.

TUDM menerusi kenyataan berkata, mangsa, Koperal Udara Syuib Bidin, 33, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Segamat, Johor pada pukul 5.45 petang ketika diberikan rawatan akibat kecederaan parah.

Katanya, seorang lagi jurulatih, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, kini di dalam pemantauan rapi dan keadaan anggota dilaporkan stabil.

“Kedua-dua anggota merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (Instar), Pangkalan Udara Sendayan. 

“Waris anggota yang terlibat telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan semua urusan kebajikan keluarga mangsa-mangsa yang terlibat diutamakan serta urusan pengebumian disempurnakan dengan sebaik-baiknya,” katanya hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada lebih kurang jam 12.10 tengah hari, seorang penuntut meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah akibat letupan bom lempar semasa proses latihan sedang dilaksanakan

Advertisements

Sementara itu, dua jurulatih yang mengalami kecederaan telah dirujuk ke Hospital Segamat, Johor.

Penuntut yang terkorban adalah Laskar Udara I, Mohd. Iqmal Masdi, 22 tahun yang berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan dan merupakan penuntut bagi KPP Kelas 1 Siri 78/23 di Instar.

Sementara itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi TUDM menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang berlaku.

“Diharapkan urusan rawatan kepada anggota yang cedera dipermudahkan, dilaksanakan dengan segera serta dikurniakan dengan kesembuhan. Semoga semua waris anggota yang terlibat sabar, tabah dan reda menghadapi ujian yang berlaku.

“Pihak TUDM meminta agar semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan berita tidak sahih sehingga proses siasatan dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia selesai. 

“Di samping itu, TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan