TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjalankan Operasi Pembenihan Awan di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang serta Empangan Teluk Air Itam di Pulau Pinang bermula Selasa.
TUDM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, operasi itu dijangka berlarutan hingga Khamis ini yang turut melibatkan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Sebanyak empat buah tangki bancuhan larutan garam telah disediakan dengan muatan 1,500 liter setiap satu tangki.
“Setelah mengambil masa lebih kurang tiga jam penyediaan bancuhan, keempat-empat tangki ini dimasukkan ke dalam pesawat angkut C130H oleh anak kapal No 20 Skuadron,” kata kenyataan itu,
Kenyataan itu menyebut pesawat angkut TUDM diterbangkan oleh Komander Pesawat Leftenan Kolonel Mohd Khairol Fadly Abu Bakar bersama dua juruterbang, lima anak kapal, empat kakitangan MetMalaysia dan seorang kakitangan Badan Kawal Selia Air yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 2.45 petang.
“Semoga usaha bersepadu yang dilaksanakan dapat membantu usaha pembenihan awan bagi memulihkan bekalan air yang terjejas dan semakin menyusut di kawasan tadahan hujan
“Pihak TUDM melalui No 20 Skuadron tetap komited membantu misi OPA bermula hari ini dan diteruskan bergantung kepada keperluan.
“Semoga usaha tersebut mendatangkan hasil dan dapat diatasi segera,” menurut kenyataan itu,” ujarnya. – Edisi 9