Thursday, June 4, 2026

Komuniti maritim diingat tidak diperguna sindiket jenayah

Seramai 25 orang pegawai penguatkuasa dari pelbagai agensi tempatan telah menyertai tiga hari bengkel yang dianjurkan sempena OPERASI REDBACK XVII.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengingatkan kepada masyarakat khususnya komuniti maritim agar tidak dipergunakan oleh sendiket jenayah.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, masyarakat diingatkan tidak menjadi ejen-ejen sindiket seperti tonto, spotters, ‘transporters’ dan sebagainya.

“Walaupun bayaran yang diberikan agak lumayan, namun masyarakat perlu mengetahui dan menyedari hukuman berat yang akan dikenakan.

“Individu yang melakukan jenayah di laut sekiranya ditahan akan terus dihadapkan ke mahkamah,”katanya sempena Majlis Perasmian OP REDBACK XVIII hari ini.

Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dan Kaunselor ABF, Superintendent John Flaming.

Seramai 25 orang pegawai penguatkuasa dari pelbagai agensi tempatan telah menyertai tiga hari bengkel yang dianjurkan sempena OPERASI REDBACK XVII mulai hari ini sehingga 10 Mei nanti.

Sementara itu, mengulas mengenai bengkel tersebut, beliau berkata, bengkel yang diadakan ini bertujuan memperkasakan anggota penguat kuasa tempatan seperti Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia melalui teoritikal, praktikal serta taktikal dalam menangani isu-isu jenayah.

“Malah selaku sebuah agensi yang berpengalaman, pihak Australian Border Force (ABF) turut akan berkongsi kepakaran mereka dalam pelbagai bidang keselamatan khususnya dalam pelaksanaan risikan dan operasi bagi kegiatan jenayah rentas sempadan,”katanya.

Aminuddin dalam pada itu memaklumkan OP REDBACK XVII merupakan kerjasama dua buah negara yang telah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu hasil daripada perjanjian yang telah dimeterai antara Maritim Malaysia dan ABF dalam usaha membanteras dan mengekang aktiviti jenayah di laut.

“Khususnya aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia, dadah, barang-barang kawalan, pemerdagangan orang serta pencerobohan nelayan asing.

Beliau juga berkata bersempena OPERASI REDBACK XVIII juga, pihak Maritim Malaysia bersama ABF turut melaksanakan ‘community engagement’ dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Selain itu program jaringan komuniti ini akan mengukuhkan lagi hubungan dengan komuniti maritim setempat, seterusnya menerapkan peranan komuniti selaku mata dan telinga kepada penguat kuasa dalam membanteras serta mengekang aktiviti jenayah di laut,”katanya.

Sempena program bersama komuniti, Maritim Malaysia dan ABF turut memgedarkan barangan keperluan seperti jaket keselamatan serta bahan-bahan promosi lain kepada penerima. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan