KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah diberi tanggungjawab oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyiapkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia adalah bertujuan untuk mengenal pasti jumlah sebenar pelarian dan pemohon suaka Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Keputusan itu telahpun dibuat dalam mesyuarat jemaah menteri 11 April lalu,”katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya hari ini.
Saifuddin berkata, terdapat 185,000 pelarian berdaftar dengan UNHCR tetapi, sebelum ini, di bawah program Sistem Maklumat Pelarian (TRIS) Pengesanan kerajaan, terdapat hanya 30,000 yang mendaftar.
“Jadi jurangnya besar dan kini KDN menerusi Imigresen akan melaksanakan pendaftaran pelarian terbabit,”katanya.
Dalam hal berkaitan beliau berkata, terdapat sektor ekonomi yang memerlukan tenaga kerja dan sebelum sebarang keputusan dibuat untuk membenarkan pelarian bekerja di sektor terpilih, data butiran mesti diperolehi terlebih dahulu daripada pendaftaran ini.
“Di satu pihak, kita ada sektor pertanian, pembinaan yang memerlukan pekerja. Sektor-sektor ini meminta pekerja dan meluluskan ketibaan.
“Dan di sisi lain, terdapat pelarian yang telah meninggalkan negara mereka dan untuk kita mempertimbangkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan, perlulah terlebih dahulu memerlukan data terperinci.
“Kita bukannya penandatangan konvensyen pelarian jadi ada sekatan tertentu,” katanya sambil menambah tiada perjanjian perkongsian data dengan UNHCR.
Ujar beliau, setelah data diperoleh, sebarang keputusan untuk membantu pelarian mendapatkan pekerjaan boleh dibuat berdasarkan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Bagaimana kita boleh menetapkan apa-apa sedangkan kita tidak mempunyai data yang lengkap,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai ketidakpuasan hati penduduk tempatan di Bagan Dalam, Pulau Pinang terhadap sekumpulan pelarian Rohingya yang menetap di sebuah rumah pangsa kos rendah di situ, Saifuddin menasihati agar semua pihak tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri.
“Mana-mana pihak tidak boleh mengambil tindakan di tangan sendiri. Dalam hal ini ia (tindakan) mestilah dilaksanakan oleh polis dan Imigresen,” katanya. – Edisi 9