30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Kalimah Allah: DAP pernah minta selesai luar mahkamah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada menteri daripada parti DAP yang meminta supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah.

Disebabkan itu, beliau tidak bersetuju dengan permintaan berkenaan kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah itu ialah KDN menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah.

Jelasnya, pendirian KDN pada masa itu ialah kes ini mesti diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang.

“Antara hujah utama KDN pada masa itu ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada tahun 2021, Kerajaan Perikatan Nasional pada ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes ini mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.

“Adalah menjadi kelaziman dalam mana-mana kes mahkamah, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi.

Advertisements

“Keputusan untuk merayu ke Mahkamah Rayuan juga adalah selaras dengan titah yang dizahirkan pada masa itu oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kesal dengan keputusan kerajaan PH-BN menarik balik rayuan dalam kes yang melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam ini.

“Sepatutnya, biarlah kes ini diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya.

“Sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai, maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasakan, iaitu untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai.

“Perlu diingat bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

“Maka titah Raja-Raja Melayu dalam hal ini hendaklah dijunjung oleh kerajaan,”ujarnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan