YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bertemu dengan Putera Monaco Putera Albert II di Palace of Monaco, semalam.
Menurut Facebook Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka di Palace of Monaco pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan (4.30 petang waktu Malaysia) dan disambut Putera Albert II.
“Selesai majlis, Seri Paduka dan Putera Albert II berkenan berangkat ke majlis pelancaran kenderaan pelbagai tugas, Rover Lunaire Flex, di ibu pejabat Venturi, syarikat pengeluar automatif yang berpengkalan di Monaco,” katanya hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Putera Albert II dan turut dihadiri Perdana Menteri Monaco, Serge Telle serta pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif Venturi, Gildo Pastor.
Istana Negara berkata, Seri Paduka turut berkenan menerima persembahan taklimat berkenaan Rover Lunaire Flex, yang dijangka mula beroperasi dan digunakan di bulan pada 2026 dan buat pertama kalinya, dipamerkan kepada awam semalam.
“Seri Paduka turut berkenan berangkat mengunjungi pasukan F1 Mercedes-PETRONAS di The Paddocks dan kemudiannya, Automobile Club Monaco pada sebelah petang waktu tempatan, semalam.
“Di Automobile Club Monaco, Seri Paduka Baginda berkenan menerima anugerah Ahli Kehormat kelab tersebut,” ujarnya.
Yang di-Pertuan Agong kini dalam rangka lawatan khas lima hari ke Monaco sehingga 30 Mei atas persilaan Putera Albert II. – Edisi 9

