ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Melaka mengecam sekeras-kerasnya tindakan penganjur swasta yang membiarkan aksi tidak senonoh individu dalam program Star Vendors Foodstival Melaka yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Melaka (MITC) Ayer Keroh pada 28 Mei lalu.
Yang Dipertuanya, Dr Mohd Nurishaq Mohd Fauzi berkata, insiden sedemikian bukan sahaja memberi imej buruk kepada negeri itu malah ia bertentangan dengan norma masyarakat setempat.
Selain itu, menurutnya, kejadian tersebut juga meruntuhkan nilai hormat dan keyakinan yang menjadi teras pembinaan Malaysia Madani.
“Penganjur program hiburan perlu berwaspada dalam memilih individu yang bakal membuat persembahan agar insiden sebegini yang bercanggah dengan norma dan budaya setempat masyarakat, tidak berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada hantaran video yang tular dalam media sosial berkait seorang pempengaruh yang mempamerkan aksi bersifat sensual dan menjijikkan di hadapan khalayak yang terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak.
ABIM Negeri Melaka juga, tegas beliau, menggesa agar pihak berkuasa tempatan agar mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung insiden tersebut sebagai satu bentuk pengajaran.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh mendesak penganjur acara Star Vendors itu membuat permohonan maaf susulan kontroversi aksi gelek mengghairahkan ketika penganjuran festival tersebut.
Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka turut menggesa pihak penganjur festival tersebut bertanggungjawab dengan tindakan yang melampau dan tidak menjaga sensitiviti masyarakat negeri Melaka.
“Aktiviti murahan seperti ini tidak diperlukan dan perlu ditentang.
“Sehubungan dengan itu, kami mendesak agar permohonan maaf dari pihak penganjur dan penganjur perlu diharamkan untuk mengadakan sebarang anjuran acara di dalam negeri Melaka!,” katanya. – Edisi 9