30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Penolong atase kedutaan Mesir terbunuh di Sudan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Luar Mesir semalam mengesahkan penolong atase pentadbiran di kedutaannya di Khartoum, terbunuh ketika kedua-dua pihak yang bertelagah dalam pergolakan berdarah di Sudan terus bertempur di ibu kota itu.

Memetik laporan Reuters, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, Muhammad El Gharrawi terbunuh ketika sedang memandu ke kedutaan untuk urusan berhubung prosedur pemindahan keluar warga Mesir yang terkandas di Sudan.

Angkatan Tentera Sudan terdahulu melaporkan pembantu atase tentera Mesir terkorban, namun kemudian membuat pembetulan dengan mendakwa penolong atase pentadbiran maut akibat tembakan oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Dalam laporan terdahulu Reuters, pertempuran yang berterusan lebih lapan hari antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mencetuskan krisis kemanusiaan, membunuh 420 orang, mencederakan 3,700 yang lain dan memerangkap jutaan rakyat Sudan tanpa akses kepada perkhidmatan asas.

Pertempuran tercetus di Khartoum dan bahagian lain di negara itu sejak 15 April, empat tahun selepas otokrat yang sudah lama memerintah, Omar al-Bashir digulingkan.

Tentera SAF dan RSF bersama-sama melakukan rampasan kuasa pada 2021 tetapi gagal semasa rundingan untuk mengintegrasikan kedua-dua kumpulan dan membentuk kerajaan awam.

Tentera SAF yang diketua Abdel Fattah al-Burhan dan RSF yang diterajui Mohamed Hamdan Dagalo atau dikenali sebagai Hemedti gagal mematuhi gencatan senjata yang dicapai hampir setiap hari, termasuk gencatan senjata selama tiga hari untuk cuti umum Aidilfitri yang bermula Jumaat lalu.

Rakaman video yang disiarkan semalam menunjukkan Hemedti berpakaian perang di tempat duduk penumpang trak pikap dikelilingi oleh tentera yang bersorak berhampiran Istana Presiden Khartoum.

Pertempuran berterusan di sekitar ibu pejabat tentera dan lapangan terbang Bahri yang ditutup sejak dua hari lalu di mana tentera melancarkan serangan di darat serta udara menyasarkan RSF, menyebabkan berpuluh-puluh terbunuh dan cedera.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Ghebreyesus mengecam serangan maut ke atas kemudahan kesihatan apabila paramedik, jururawat barisan hadapan dan doktor tidak dapat mengakses mangsa yang cedera.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan