OPERASI pembenihan awan di Pulau Pinang dijangka dilaksanakan pada akhir bulan ini dengan sasaran kawasan tadahan air di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) telah memohon kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan operasi tersebut.
Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengesyorkan jangka masa dari 29 April hingga 7 Mei untuk gelombang pertama operasi yang akan dijalankan di Pulau Pinang bagi tahun ini.
“Keadaan cuaca harus sesuai untuk memaksimumkan kesan operasi pembenihan awan.
“Objektif utama pelaksanaan pembenihan hujan ini adalah untuk mendorong hujan lebat di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang. Hujan lebat diperlukan untuk mengisi semula empangan ini dengan air mentah sebanyak mungkin,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kata beliau, status kapasiti efektif Empangan Air Itam sehingga 24 April adalah 44.8 peratus berbanding 82.5 peratus pada 1 Januari lalu.
“Bagi tempoh sama, kapasiti efektif bagi Empangan Teluk Bahang adalah 48.6 peratus pada 24 April dan 64 peratus pada Januari.
“Ini menunjukkan, kapasiti efektif Empangan Air Itam menyusut 37.7 peratus manakala Empangan Teluk Bahang 15.4 peratus sejak 1 Januari lalu.
“Ini kerana, jumlah hujan yang rendah (berkaitan dengan perubahan iklim) di kawasan tadahan air dan permintaan air yang tinggi di Pulau Pinang pada tahun ini,”katanya. – Edisi 9

