ZOO Negara menafikan terlibat dalam penganjuran peraduan yang dipaparkan di https://www.facebook.com/ZooNegaraMa/ tersebut.
Sehubungan dengan itu, Zoo Negara menerusi Facebook hari ini mengingatkan pengguna supaya tidak terpedaya dengan akaun Facebook palsu Zoo Negara Malaysia yang diaktifkan untuk mengelirukan pengguna.
“Ini selepas kami mengesan akaun Facebook palsu itu telah menggunakan nama dan menganjurkan peraduan tidak wujud.
“Kami menafikan akaun tersebut milik Zoo Negara dan tidak terlibat dalam peraduan yang dipaparkan di https://www.facebook.com/ZooNegaraMa/ tersebut.
“Baru-baru ini, terdapat satu akaun palsu menggunakan identiti Zoo Negara Malaysia. Mereka juga membuat pertandingan palsu di mana semua orang boleh memenangi tiket. Ini bukan kami.
“Buat laporan akaun ini dan hebahkan untuk elak lebih ramai terpedaya. Kongsikan hantaran ini supaya lebih ramai ambil tindakan sama,” menurut perkongsian tersebut.
Akaun palsu tersebut kini memiliki 1,039 pengikut dan meletakkan pin peraduan menang empat tiket ke Zoo Negara kepada 10 pemenang bertuah. – Edisi 9