32.9 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Malaysia alami gerhana matahari separa 20 April ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA akan mengalami tempias fenomena jarang berlaku iaitu gerhana matahari separa pada 20 April ini bersempena dengan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku ke utara dari benua Australia.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena itu bermula 11 pagi hingga selewat-lewatnya 2 petang bagi pemerhati di Sabah.

Menurut kenyataan itu lagi, fenomena itu akan tamat lebih awal iaitu sekitar 1 tengah hari bagi pemerhati di Semenanjung.

“Bagi pemerhati di Semenanjung Malaysia, litupan permukaan matahari ketika maksimum adalah pada kadar satu peratus hingga 15 peratus, manakala di Kuching, Sarawak mencecah sehingga 30 peratus dan di Kota Kinabalu, Sabah pula 34 peratus dan yang tertinggi 43 peratus di Tawau,” katanya hari ini.

Ujar Mosti lagi, Program Pencerapan Gerhana Matahari Separa 2023 akan diadakan di Planetarium Negara Kuala Lumpur dan di bandar Tawau, dengan cermin mata gerhana (eclipse glasses) percuma diedarkan di kedua-dua lokasi bagi membolehkan pengunjung menyaksikan fenomena itu dengan selamat.

Menurutnya, beberapa teleskop dengan penuras khas juga akan disediakan bagi membolehkan pengunjung menyaksikan keadaan itu dengan lebih jelas dan selamat, selain mengabadikan gambar gerhana sama ada menggunakan telefon pintar atau kamera digital lensa tunggal (DSLR) yang digabungkan dengan kemudahan pencerapan yang disediakan.

Dalam pada itu, MOSTI turut mengingatkan orang ramai untuk tidak melihat matahari secara terus tanpa menggunakan penuras khas kerana ia boleh merosakkan retina mata dan boleh mengakibatkan buta kekal.

Selain itu, penstriman langsung di laman Facebook dan YouTube Planetarium Negara turut disediakan, dengan imej yang bakal dikongsikan adalah fenomena gerhana di Malaysia atau imej yang diambil daripada lokasi lain di seluruh dunia yang turut mengalami gerhana matahari hibrid atau separa.

Advertisements

“Kenampakan fenomena gerhana matahari separa juga amat bergantung kepada keadaan cuaca semasa di sesuatu lokasi ketika kejadian gerhana sedang berlaku pada 20 April nanti.

“Sekiranya sesuatu lokasi mengalami litupan awan tebal atau mendung atau mungkin juga hujan, maka fenomena gerhana matahari separa tidak dapat disaksikan dari lokasi tersebut,” katanya.

Mosti turut menasihatkan umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa untuk tidak berada terlalu lama di bawah sinaran matahari yang boleh menyebabkan nyahhidrat atau kehilangan terlalu banyak air daripada badan.

Sementara itu, menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Gerhana Matahari Hibrid ialah gerhana yang sangat jarang berlaku, iaitu dianggarkan sekali setiap dekad di mana kedua-dua jarak Bulan dan Matahari ke Bumi perlu berada pada kedudukan tertentu untuk fenomena ini berlaku.

“Gerhana Matahari Hibrid hanya berlaku 7 kali pada abad ke-21, iaitu pada tahun 2013, 2023, 2031, 2049, 2050 dan 2067.

“Ia dipanggil ‘hibrid’ kerana melibatkan ketiga-tiga kawasan bayang-bayang bulan iaitu umbra, penumbra dan antumbra yang menggabungkan ketiga-tiga jenis gerhana matahari iaitu, Gerhana Matahari Penuh, Gerhana Matahari Anulus dan Gerhana Matahari Separa sepanjang laluan tengah gerhana,” katanya.

“Jenis gerhana yang kita dapat lihat adalah bergantung kepada lokasi pemerhati di sepanjang laluan gerhana tersebut (bahagian bayang Bulan yang kita berada),” katanya dalam Facebook hari ini.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan