PERODUA menawarkan pakej servis khas Perodua Auto Rahmah 2023 kepada pemilik Axia dan Bezza bagi mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan yang terbaik sempena Aidilfitri.
Pakej servis khas berkenaan adalah maklum balas kepada Pakej Auto Rahmah yang baru dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di bawah program Payung Rahmah yang bertujuan mengurangkan beban kos hidup yang ditanggung oleh rakyat.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hari ini pemilikan kenderaan telah menjadi satu keperluan kepada kebanyakan orang.
Sehubungan itu, kos pemilikan kenderaan seperti pinjaman, perbelanjaan bahan api, tol dan penyelenggaraan juga menjadi antara komponen utama perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia.
“Justeru, MITI amat berbesar hati kerana Perodua telah menyahut saranan kerajaan menerusi Pakej AUTO RAHMAH 2023 yang menawarkan diskaun bagi penyelenggaraan kenderaan di pusat servis rasminya.
“Kami berharap jenama kenderaan lain juga akan turut mengikuti langkah Perodua bagi membantu memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan mereka yang tersayang semasa berada di jalanraya, terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.
“Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk mencari kaedah yang terbaik dalam mengurangkan kesan kenaikan harga dan MITI sedang memanfaatkan peranannya untuk mencapai objektif itu,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pakej servis khas Perodua Auto Rahmah 2023 ini adalah khusus buat pelanggan Axia dan Bezza kami yang membantu memenuhi keperluan pemotoran dan pada masa yang sama mengurangkan kos sara hidup mereka.
“MITI sentiasa menjadi penyokong terbesar kami dan kini sedang bekerjasama dengan kami dalam merealisasikan diskaun servis khas ini,”tambah beliau.
Zainal berkata, Axia dan Bezza adalah model kami yang paling popular dan digunakan secara meluas sebagai mod pengangkutan utama oleh para pelanggan kami.
“Oleh itu, kami ingin memastikan usaha yang dibuat dapat dinikmati oleh golongan sasar dan memberikan ketenangan semasa memandu.
“Ini lebih penting dengan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi kerana kebanyakan pemilik kenderaan merancang untuk melakukan perjalanan jauh untuk bersama keluarga tersayang.
“Kami mengucapkan selamat menyambut Ramadan yang penuh keberkatan dan Hari Raya yang indah,”katanya.
Kempen servis berkenaan terdiri daripada diskaun 30 peratus untuk jumlah keseluruhan di dalam satu invois bagi alat ganti dan kos buruh.
Untuk melayakkan diri bagi kempen ini, pemilik Axia dan Bezza dikehendaki membuat janji temu di pusat servis Perodua yang berhampiran.
Kempen ini akan berlangsung mulai 12 April hingga 15 Mei 2023. (Tertakluk kepada Terma dan Syarat). – Edisi 9