34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

KWSP nafi dakwaan tular mengenai krisis tunai

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa agenis itu sedang menghadapi krisis tunai serta tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar pengeluaran pra-persaraan.

Kumpulan wang itu dalam kenyataan berkata, pihaknya sentiasa mengekalkan kecairan yang mencukupi bagi memenuhi semua komitmennya.

“Segala aktiviti jual beli aset luar negara adalah sebahagian daripada operasi pelaburan KWSP mengikut alokasi aset strategiknya, dan bukan untuk membayar pengeluaran pra-persaraan.

“Malah, terdapat peningkatan yang stabil dalam keseluruhan pelaburan asing KWSP sejak beberapa tahun yang lepas, walaupun semasa berlakunya krisis COVID-19,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut KWSP, selain itu, pihaknya juga menyangkal spekulasi bahawa Akta KWSP 1991 akan dipinda untuk menghalang pesara daripada mengeluarkan simpanan mereka.

KWSP berkata, spekulasi tersebut telah merujuk kepada rencana akhbar oleh Business Times Singapura bertarikh 7 April 2023 dan bertajuk Bank Negara says Malaysians could run out of savings 19 years too soon.

“Apa yang diketengahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di dalam laporannya ialah situasi yang membimbangkan bagi pesara yang disebabkan oleh isu struktur seperti gaji yang rendah, yang sememangnya wujud sebelum pandemik melanda.

“Simpanan median untuk kumpulan umur 51-55 hanya akan bertahan lima tahun selepas pengeluaran pada umur 55, dan ia telah menurun kepada sekitar tiga tahun selepas pengeluaran berkaitan pandemik.

“Laporan itu selanjutnya menyatakan bahawa rata-rata rakyat Malaysia akan menghadapi risiko kehabisan simpanan persaraan mereka 19 tahun sebelum kematian, dengan jangka hayat global meningkat kepada 77 tahun ke atas menjelang 2050.

Advertisements

“Golongan millenial dalam lingkungan umur 26-40 tahun berkemungkinan menghadapi cabaran kewangan yang ketara, kerana ramai menghadapi kesukaran untuk memenuhi had Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000.

“Situasi ini boleh menjejaskan potensi peluang peningkatan simpanan sehingga RM94,000 apabila mereka bersara pada usia 60 tahun, seterusnya menjadikan mereka antara kumpulan demografi yang paling terkesan,” katanya.

Ujar KWSP, pengeluaran khas berkaitan pandemik juga telah menyebabkan pengurangan ketara dalam jumlah simpanan persaraan ahli.

“Sehingga Mac 2023, sebanyak 70.5 peratus daripada 7.2 juta ahli sektor formal aktif berumur 18-55 tahun tidak memenuhi had Simpanan Asas KWSP mengikut umur.

“Sebanyak 3.1 juta atau 39 peratus ahli yang membuat pengeluaran khas dan berumur di bawah 55 tahun setakat Januari 2023 masih belum mula membina semula simpanan mereka.

“Tahap simpanan mereka kekal rendah, dengan median simpanan sebanyak RM890.

“Keutamaan KWSP dalam perkara ini adalah untuk membina semula simpanan persaraan dan memperluaskan perlindungan kepada mereka yang berada di luar skop semasa Akta KWSP.

Katanya, KWSP juga sedang berbincang dengan kerajaan mengenai pembaharuan yang berpotensi untuk menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang semakin terjejas akibat pandemik.

“Sehubungan dengan itu, KWSP menyarankan ahli agar hanya rujuk kepada berita sahih daripada sumber rasmi, dan bukannya spekulasi melalui media sosial,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan