36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KWSP: Muhyiddin usah berlagak ‘hero’, dulu juga tolak

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

WAH nampaknya sekarang ini puak-puak pembangkang bukan main lantang menyerang kerajaan soal pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Maklum segala usaha nak tumbangkan Kerajaan Perpaduan gagal walaupun sudah acap kali diratib oleh Presiden Pas, namun sampai hari ini masih teguh dan makin kukuh berdiri.

Maka terpaksalah mencari isu untuk dijadikan peluru bagi menyerang kerajaan terutama terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dan kebetulan ada pula isu KWSP, maka itulah peluang yang dilihat untuk menyerang ‘kedudukan’ kerajaan hari ini walaupun yang pertama kali bangkit soal KWSP bersasar ini datangnya dari Najib Razak.

Kita imbas sedikit ketika dunia dilanda pandemik pada 2020 di mana rakyat mengalami kesulitan hidup lantaran tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin mengadakan perintah kawalan pergerakan (PKP) separuh masak.

Wan Fayhsal antara yang lantang memperjuangkan KWSP bersasar.

Rakyat terutama yang bekerja sendiri hilang sumber pendapatan, ramai diberhentikan kerja dan pelbagai kesulitan hidup. Ekonomi rakyat merudum dan terpaksa mengibarkan ‘bendera putih’.

Lalu Najib Razak ketika itu telah mencadangkan pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban rakyat, namun cadangan itu kemudian ditolak Muhyiddin.

Apa Muhyiddin cakap?

“Saya nak beritahu sukar untuk kita menimbangkan perkara berkenaan (benarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP), bukan kerana kerajaan tidak mahu.

“Memang ramai yang teks saya berkata ‘tolonglah Tan Sri, kami susah.’ Sekarang pun tanpa mengeluarkan simpanan itu, kita sudah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat.

“Jika kerajaan benarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, saudara akan hadapi masalah lebih besar pada masa hadapan.” – Berita Harian (29 Oktober 2020).

Muhyiddin ketika itu langsung tidak peduli dengan permintaan 7.6 juta pencarum KWSP sebaliknya hanya sedia untuk memberikan bantuan berbentuk lain.

Najib yang ketika itu masih Ahli Parlimen Pekan, menekan kerajaan pimpinan Muhyiddin agar meluluskan pengeluaran KWSP jika mahukan sokongan Barisan Nasional (BN) terhadap Belanjawan 2021 yang dibentangkan.

Tapi apa kata wakil Pas?

“Saya rasa ia seperti (hikayat) Puteri Gunung Ledang yang meminta Sultan Melaka membuat jambatan (emas), hidangan (hati) nyamuk sekian, sekian, namun bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan itu.” – Fadhli Shaari (Dewan Rakyat, 29 November 2020).

Dan hari ini, mereka yang berjuang mempertahankan keputusan menolak pengeluaran KWSP itulah yang berlagak menjadi ‘hero’ kepada sebahagian kecil pencarum menuntut pengeluaran caruman mereka.

Mereka menggunakan seorang pemandu teksi yang konon berjalan kaki dari Johor Bahru ke Istana Negara di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum menuntut pengeluaran KWSP.

Semalam, Muhyiddin menyatakan kekesalan kerana tuntutan pengeluaran KWSP seakan-akan tiada tanda diluluskan oleh Anwar sedangkan beliau sendiri tahu implikasi jika pengeluaran KWSP terus dibenarkan.

Muhyiddin juga tahu kalau wang simpanan itu untuk hari tua rakyat Malaysia. Kalau tidak takkanlah semasa jadi PM beliau sendiri menolak tuntutan rakyat.

Walhal ketika itu, keperluan rakyat terhadap KWSP jauh lebih mendesak berbanding sekarang yang mana banyak lagi cara untuk menampung ekonomi rakyat.

Bukannya apabila ‘tak cukup duit’ asyik memandang duit dalam KWSP dan bila dah tua tak mampu bekerja tapi duit KWSP pun dah habis, kerajaan dan menteri juga yang akan dimaki hamun.

Bukan tak faham fi’il orang kita.

Jadi Muhyiddin dan puak-puak pembangkang dalam Perikatan Nasional sudah-sudahlah bermain sandiwara konon pejuang nasib pencarum KWSP sedangkan mereka tahu implikasinya terhadap pencarum, KWSP dan kewangan negara sekiranya pengeluarannya terus dibenarkan.

Bulan puasa ini kurang-kurangkanlah berdrama. Rakyat muak!

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan