27.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 30, 2023

Kejayaan besar di China hasil kerjasama rentas kementerian – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan luar biasa sempena lawatan rasmi beliau ke China baru-baru ini adalah hasil daripada semangat berpasukan dan kerjasama rentas kementerian yang telah dilaksanakan sebaik mungkin.

Menurutnya, hasil usaha penjawat awam menyusun acara, kira-kira 50 syarikat gergasi China yang bernilai berpuluh bilion dolar dapat dihimpunkan sempena lawatan itu.

“Ini kerana usaha yang dibuat bukan sahaja oleh Kementerian Luar, tapi semua kementerian terkait berbincang dan menemui mereka sebelum ada pertemuan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.

Sempena lawatan rasmi Anwar ke China itu, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China, hasil pemeteraian 19 memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dengan China.

Anwar dalam pada itu berkata kaedah cekap dan bersih perlu dilaksanakan dalam setiap urusan bagi menarik dan menambah keyakinan pelabur dalam negara.

Beliau tidak menafikan masih ada pihak yang meminta komisen ketika berurusan dengan kerajaan.

“Budaya lama (jika) mahu dibersihkan mengambil masa lama, jadi saya minta kerjasama saudara kerana apabila imej itu baik, ia mudah sekali,” katanya.

Anwar berkata sekiranya tadbir urus, tatakelola dan imej baik dapat dikekalkan, masa depan negara akan lebih cerah. – BERNAMA

Terkini

Stadium Shah Alam diroboh selewatnya November – Amirudin

STADIUM ikonik di Selangor, Stadium Shah Alam dijadual akan dirobohkan pada akhir tahun ini, selewat-lewatnya awal November depan. Menteri Besar...

Lagi Artikel Berkaitan