31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Pencarum KWSP boleh buat pinjaman bank

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai simpanan minimum sebanyak RM3,000 di dalam Akaun 2 layak memohon pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

KWSP menerusi kenyataan berkata, kemudahan Fasiliti Sokongan Akaun 2 bagi Fasa 1 itu dibuka kepada ahli yang berusia antara 40 hingga 54 tahun bermula 7 April ini sementara bagi Fasa 2 (40 tahun ke bawah) akan dimaklumkan kelak.

Katanya, dua institusi perbankan yang menyediakan kemudahan pembiayaan peribadi tersebut adalah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank.

“Fasiliti ini dilaksanakan dalam dua fasa, Fasa 1 dibuka kepada ahli yang berumur 40 tahun ke atas.

“Ini kerana tempoh maksimum pembiayaan peribadi di bawah fasiliti ini adalah 10 tahun, dan bagi melayakkan pengeluaran umur 50 tahun atau 55 tahun dibuat, hanya ahli berumur 40 tahun ke atas sahaja yang boleh menyertainya buat masa ini.

“Fasa 2 pula akan dibuka kepada ahli di bawah umur 40 tahun setelah semua perkara berkaitan terma dan syarat berkaitan pembiayaan peribadi tersebut telah dimuktamadkan,” katanya hari ini.

Kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang dikenakan bank-bank mengambil bahagian adalah antara empat hingga lima peratus, lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15 peratus.

Sementara itu, KWSP berkata, Fasiliti Sokongan Akaun 2 akan dilaksanakan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian.

Katanya, KWSP mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan.

Dalam pada itu, menurut KWSP, kemudahan itu disasarkan kepada ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong pendapatan berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan keselamatan simpanan persaraan mereka.

Advertisements

Katanya, fasiliti sokongan itu menawarkan penyelesaian praktikal untuk ahli yang menghadapi isu ketidakcukupan tunai sementara dengan menyediakan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi dengan impak minimum kepada simpanan persaraan mereka.

“Sekiranya ahli membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada mana-mana peringkat umur antara 50 dan 54 tahun, mengikut pilihan ahli.

“Jika ahli memilih Pengeluaran Umur 55 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akan 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada umur 55 tahun.

“Jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi, sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli,” katanya.

Kata KWSP, simpanan ahli akan kekal dalam Akaun 2 dan terus menerima dividen tahunan KWSP, seterusnya membolehkan ahli mengambil manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen ke atas simpanan persaraan mereka, di samping masih memenuhi keperluan kewangan jangka pendek mereka.

“Ahli boleh membatalkan notis awal Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dengan memaklumkannya kepada KWSP sekiranya ahli telah menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan peribadi mereka.

“Sebaik sahaja notis awal dibatalkan, jumlah yang dipohon bagi pengeluaran (prinsipal dan dividen terkumpul) dalam Akan 2 boleh digunakan untuk pengeluaran pra-persaraan lain daripada KWSP.

Ahli boleh melawat https://fsa2.kwsp.gov.my untuk menyemak kelayakan dan amaun pembiayaan peribadi yang boleh dimohon bermula 5 April ini.

Ahli juga perlu mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit melalui Self-Service Terminal di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi.

Maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akan 2, ahli boleh merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan