FIRMA infrastruktur digital global, DigitalBridge dianggarkan akan melabur lebih RM4 bilion di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan khusus salam sektor infrastruktur itu dijangka berlaku pada penghujung tahun ini.
“DigitalBridge adalah firma infrastruktur digital global yang melabur dalam pusat-pusat pengkalan data, menara-menara telco dan gentian optik.
“Pada penghujung 2023 kelak, DigitalBridge dianggarkan akan melabur lebih RM4 bilion terutamanya di dalam sektor infrastruktur di Malaysia,” katanya dalam Facebook hari ini.
Beliau berkongsikan hantaran berkenaan sempena kunjungan hormat dari DigitalBridge tempoh hari.
Ujar Anwar lagi, menurut kertas putih oleh Knight Frank, pertumbuhan infrastruktur digital di Malaysia adalah yang terpantas, dan pusat-pusat data merekodkan 113 megawatt hanya pada tahun 2022, atau 4 kali ganda melebihi Thailand.
“Saya akan terus komited dan menekankan kepentingan dalam memastikan ekosistem yang bersih dan kondusif bagi memudahcara sektor perniagaan dan pelaburan di negara ini sebagai sebahagian dari usaha dan upaya kita memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
-EDISI9