SEBANYAK 187 mangsa daripada 51 keluarga dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Gereja SIB Salarom Baru susulan banjir yang melanda Nabawan, Sabah pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, kesemua mangsa dipindahkan ke PPS yang mula dibuka pada pukul 12.30 pagi tadi.
“Trend pemindahan mangsa banjir adalah kekal pada pagi ini.
“Banjir dipercayai akibat hujan lebat berterusan bermula petang semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nabawan merupakan daerah pedalaman Sabah yang terletak sejauh 195 kilometer (KM) dari Kota Kinabalu.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah menerusi kenyataan memberitahu, hanya satu jalan iaitu Jalan Pamuntarian-Kabu Baru di Nabawan tidak boleh dilalui akibat ditenggelami air.
Katanya, tiada jalan alternatif boleh digunakan pengguna jalan raya buat masa ini.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kawasan pantai barat Sabah terutama Kota Belud dan Kudat sehingga pukul 9 pagi tadi. – Edisi 9