27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

AstraZeneca labur RM53.5 juta untuk kajian klinikal

Pelaburan itu meliputi kajian terhadap keberkesanan terapi baharu dan juga untuk menubuhkan Tapak Pengurusan dan Pemantauan di Malaysia

Mesti Baca

ASTRAZENECA merancang melabur sebanyak RM53.5 juta menjelang 2025 di negara ini dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat bertaraf dunia bagi kajian klinikalnya.

Pengarah AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal berkata, pelaburan itu meliputi kajian terhadap keberkesanan terapi baharu dan juga untuk menubuhkan Tapak Pengurusan dan Pemantauan (SMM) baharunya di Malaysia.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah tambahan bagi pelaburan sebanyak RM14 juta yang telah dibuat AstraZeneca untuk kajian klinikal di negara ini sejak 2020.

“Pangkalan SMM AstraZeneca akan bekerjasama dengan CRM (Clinical Research Malaysia) dan HUS (Hospital Umum Sarawak) sebagai pusat utama bagi mengoptimumkan kualiti dan penyampaian kajian klinikal melalui 32 tapak kajian di Malaysia.

“SMM juga akan berkolaborasi bersama R&D global AstraZeneca untuk menjalankan aktiviti pra-pemasaran kajian klinikal, serta bekerjasama dengan para profesional kesihatan, badan kawal selia pihak berkuasa, dan jawatankuasa etika untuk mengurus kajian klinikal,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara AstraZeneca dan CRM serta HUS di Putrajaya, hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Advertisements

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Kewangan Kluster AstraZeneca, Pneh Tee Koon dan Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, Malaysia telah berjaya menjangkau RM1 bilion pendapatan kasar negara melalui kajian klinikal kontrak sejak tahun 2012.

Beliau berkata, lebih 2,000 kajian tajaan telah diluluskan jawatankuasa etika sejak sedekad lalu, menjadikan Malaysia negara ketiga teraktif di Asia Tenggara menjalankan kajian klinikal.

Katanya, kebanyakan syarikat biofarmaseutikal dan Contract Research Organization (CRO) memilih Malaysia kerana kita mempunyai penyelidik kajian klinikal yang berpengalaman, berkebolehan dan berupaya mencapai ekspektasi organisasi multinasional global.

“Bilangan kajian klinikal yang direkodkan pada tahun lepas adalah yang tertinggi sejak penubuhan CRM sedekad yang lalu.

“Dengan jumlah pelaburan yang dilakukan untuk kajian klinikal fasa awal di negara ini melalui MoU bersama AstraZeneca ini, sekaligus menekankan hasrat dan usaha kementerian dalam memajukan agenda kajian klinikal di Malaysia yang boleh menyumbang kepada peningkatan kesihatan rakyat,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan