26.2 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

100 pelajar B40 MRSM terima sumbangan raya

Mesti Baca

SEBANYAK 100 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) daripada keluarga B40 menerima sumbangan wang tunai sempena Hari Raya Aidilfitri.

Mereka terdiri daripada para pelajar MRSM Bentong, Pahang; MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor; MRSM Kuching, Sarawak dan MRSM Kota Kinabalu, Sabah.

Sumbangan tersebut diterima daripada Persatuan Pelajar MRSM (Ansara) Malaysia di bawah Projek Bantuan Raya yang diadakan dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia).

Naib Presiden Ansara Malaysia, Imelda Harris berkata, program tersebut selari dengan objektif persatuan itu untuk kembali menyumbang dan membantu institusi pendidikan yang pernah mendidik mereka sehingga berjaya ke hari ini.

Selain itu, katanya, ia juga sebagai model contoh kepada para pelajar untuk peka dan cakna terhadap golongan memerlukan apabila dewasa kelak.

Presiden Ansara Malaysia, Mohd Fadzli Yusof (dua kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Siti Fadilah Mohd Hood (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Pengetua MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor, Hazlina Jaafar.

“Sebenarnya ini bukan projek kebajikan pertama yang kami lakukan. Sebelum ini kami banyak menjalankan kerja kebajikan dan kesukarelawanan mengikut cawangan masing-masing.

“Tahun ini, Ansara Malaysia dengan usaha sama IRM ingin memperkukuhkan lagi gerak kerja kebajikan kami dengan menjalankannya secara menyeluruh, di mana kutipan sumbangan dijalankan dalam kalangan alumni Ansara dan juga dibuka kepada orang ramai.

“Pada awalnya, kami menyasarkan kutipan dana RM20,000 sahaja, namun atas sambutan menggalakkan kami berjaya mengumpul lebih RM30,000 dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Advertisements

“Jadi, hasil kutipan kami telah berikan kepada para pelajar MRSM terpilih, dan sebahagiannya lagi kami telah salurkan kepada Islamic Relief Malaysia bagi menyokong kempen Rezeki Ramadan yang akan memberi manfaat kepada penerima di 11 buah negara antaranya Malaysia, Syria, Palestin dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Pengetua MRSM Bentong, Ariffin Sulaiman berkata, pemilihan pelajar yang menerima sumbangan adalah berdasarkan pendapatan ibu bapa dan bilangan tanggungan keluarga mereka.

Katanya, pelajar yang terpilih juga merupakan antara pelajar yang tersenarai dalam penerima bantuan Program Budi MARA.

Imelda Harris (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Izzah Nabihah Sazahly.

“Pihak sekolah turut mengambil kira prestasi akademik dan keterlibatan pelajar yang aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan pihak sekolah sebagai salah satu kriteria pemilihan.

“Jadi, program ini dilihat dapat menjadi serampang dua mata di mana ia bukan sahaja meringankan beban keluarga pelajar untuk menyediakan kelengkapan Aidilfitri, malah turut menjadi faktor penggalak untuk mereka terus belajar bersungguh-sungguh bagi mengejar cita-cita seterusnya membantu keluarga keluar dari kesusahan yang dialami,” katanya.

Salah seorang penerima sumbangan, Izzah Nabihah Sazahly dari MRSM Bentong berkata, dia akan menyerahkan sumbang yang diterima itu kepada ibu bapanya bagi membeli keperluan untuk hari raya.

“Ibu dan ayah saya tidak bekerja kerana faktor usia dan kesihatan mereka yang tidak mengizinkan. Kami sekeluarga hanya bergantung hidup dengan wang simpanan ayah.

“Sewaktu cikgu maklumkan saya terpilih sebagai salah seorang penerima sumbangan Projek Bantuan Raya ini, saya rasa terkejut dan terharu,” katannya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan