“TUKANG bumbung bukan calang-calang profesion,” itu kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menggunakan kata kiasan.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati.
Sehubungan dengan itu, kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak memandang sebelah mata dakwaan Presiden PAS itu yang mendakwa pentadbiran sedia ada akan tumbang tidak lama lagi.
“Dia boleh beritahu fasal jenis atap, paip, cat, cuaca, tangki air, gutter, tandas, pokok rendang bersebelahan hinggalah tikus mati yang menyebab paip tersumbat.
“Kepakarannya luar biasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Menurut Shabery, perbelanjaan membaiki bumbung boleh jadi sama dengan kos rumah.
“Bila ada amaran daripada tukang bumbung fasal atap bocor, dengarlah baik2…. musim tengkujuh tak abis lagi,” katanya.
Pada Selasa lalu, Ahli Parlimen Marang itu mengingatkan pemimpin kerajaan sedia ada agar tidak menyalahkan pembangkang sekiranya pentadbiran hari ini jatuh sekali lagi.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, jika kerajaan sedia ada runtuh sekali lagi pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengatakan ia ‘tebuk atap’ sebaliknya ia berlaku akibat ‘atap bocor’.
“Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan ‘tebuk atap’, tetapi ‘atapnya bocor’, ‘pintunya terbuka’ dan ‘dindingnya pecah’,”katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat. – Edisi 9

