PEMBELI rumah pertama mungkin terpaksa membayar penuh pembiayaan susulan pemansuhan Skim Rumah Pertama (SRP) yang didakwa akan berakhir 31 Mac ini.
Penamatan skim berkenaan dikatakan akan menyebabkan proses membeli rumah pertama menjadi sukar apabila pembeli terpaksa membayar deposit 10 peratus daripada harga hartanah.
Ini termasuk rumah baharu, dalam pembinaan ataupun rumah sedia ada (subsale).
Ini bermakna dengan penamatan skim itu, pembeli rumah terpaksa membayar yuran guaman dan duti setem serta 90 peratus daripada harga hartanah.
Bagaimanapun, difahamkan yuran guaman tersebut boleh dimasukkan ke dalam pembiayaan perumahan.

Bagi golongan pembeli rumah baharu, ada dalam kalangan pemaju yang memberikan diskaun sebanyak 10 peratus dan ini bermakna mereka tidak perlu membayar deposit sebaliknya hanya perlu menyerahkan bayaran tempahan.
Menurut sumber daripada bank, memo untuk penamatan skim itu telah pun dikeluarkan.
Tarikh akhir bank untuk memproses dan meluluskan pinjaman perumahan di bawah SRP perlu diserahkan kepada perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Berhad (Cagamas) sebelum 30 Jun 2023.
Kegagalan pihak bank menyerahkan dokumen permohonan pembiayaan selepas tarikh itu akan menyebabkan status pembiayaan ditukar menjadi pembiayaan perumahan biasa. – Edisi 9