29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Shahidan ‘gembira’ Zahid dapat semula pasport

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berjaya memperolehi semula pasport antarabangsanya.

Ujar beliau, sekiranya Ahmad Zahid boleh miliki semula pasport, mahkamah juga perlu memberikan hal yang sama kepada semua termasuk Datin Seri Rosmah Mansor secara kekal yang sebelum ini hanya sementara.

Beliau berkata demikian ketika memberikan cadangan dalam usul perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya ucap tahniah kepada TPM yang telah mendapat pasport antarabangsa… Saya antara penyokong kuat TPM, ini kurang semua ni (merujuk Ahli Parlimen di Dewan Rakyat)… saya penyokong kuat dan saya seoronok dia (Ahmad Zahid) dapat pasport antarabangsa.

“Gembira… walaupun dia ada 47 kes mahkamah tapi dapat pasport antarabangsa. Kita kena hormat, ini adalah satu keputusan yang hebat. Cuma saya nak tanya Yang Berhormat TPM, kenapa DPP (Timbalan Pendakwa Raya) sebut perkataan ini…”

“… dapat arahan untuk tidak membantah di mahkamah. Ya Allah, tolong jawab sekejap, saya tak faham. Kalau kita bagi kepada TPM, kita kena bagi kat Rosmah. Kesian kat Rosmah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mencelah bahawa beliau mempercayai undang-undang.

“Tampin hanya mempercayai dari segi undang-undang… Kalau undang-undang dah putuskan macam tu, kita reda je (sahaja) lah,” kata Mohd Isam.

Bagaimanapun, Shahidah kembali meneruskan cadangan dalam usul perbahasannya itu untuk memberikan pasport antarabangsa kepada semua.

“Yang Berhormat, ini saya cadangkan supaya pasport antarabangsa diberi kepada semua, bukan kepada individu tertentu sahaja.

“Saya menyokong supaya diberi kepada semua sebab ini Madani…Madani maksudnya bagi kepada semua,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ahmad Zahid berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai TPM.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.

Ia susulan pada 3 Februari lalu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequera (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan itu untuk Ahmad Zahid mendapatkan pasport diplomatik.

Dokumen perjalanan itu seterusnya perlu menyerahkan semula kepada mahkamah selepas urusan permohonan diplomatik selesai.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

-EDISI9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan