27.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 30, 2023

Tiga guru jadi mangsa penipuan dalam talian sehari

Lebih 1,000 guru telah menjadi mangsa penipuan dalam talian pada tahun lalu dengan jumlah kerugian melebihi RM31,000

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan secara puratanya tiga guru dalam tempoh sehari menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Dalam satu hantaran di facebook rasmi PDRM, pihak berkuasa menasihatkan semua pihak untuk sentiasa berwaspada dan mengambil tahu tentang modus operandi terbaharu sindiket penipuan.

“Tahukah anda? Lebih 1,000 guru telah menjadi mangsa penipuan dalam talian pada tahun 2022 (lalu) dengan jumlah kerugian melebihi RM31,000 dan purata yang menjadi mangsanya adalah seramai tiga orang dalam tempoh sehari.

“Sentiasa berwaspada dan ambil tahu tentang modus operandi terbaharu sindiket penipuan. Jangan jadikan diri anda sebahagian dari mangsa mereka,” katanya hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh memaklumkan di Dewan Rakyat, kerajaan sedang meneliti beberapa peruntukan undang-undang yang boleh digunakan atau dipinda untuk membolehkan pengembalian wang kepada mangsa penipuan dalam talian.

Menurut beliau, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah antara yang sedang diteliti.

“Selain itu, dalam usaha menangani isu penipuan dalam talian, kerajaan juga telah dan akan melaksanakan langkah-langkah bagi memerangi jenayah ini dengan mempertingkatkan usaha dan kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa bagi memastikan tindakan lanjut boleh diambil terhadap penjenayah yang berada di luar negara.

“Meningkatkan keupayaan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) berkaitan pengoperasian, sumber tenaga kerja, sistem data berpusat, kemudahan infrastruktur pejabat, peralatan technicality dan sistem analisis kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Husain Awang pada sesi soal jawab lisan mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam menangani isu penipuan dalam talian yang semakin kritikal.

-EDISI9

Terkini

Agong berkenan sertai pertandingan Golf Amal Istana Negara

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Pertandingan Golf Amal Istana Negara...

Lagi Artikel Berkaitan